Tiga guru positif Covid-19, sesi bersemuka dua sekolah ditangguh

Timbalan Menteri Pendidikan II Mohamad Alamin (kiri) beramah mesra dengan salah seorang murid istimewa ketika lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Matang Jaya pada Isnin. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Pendidikan II Mohamad Alamin (kiri) beramah mesra dengan salah seorang murid istimewa ketika lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Matang Jaya pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Pembukaan semula sesi persekolahan di dua sekolah menengah kebangsaan (SMK) berasrama di daerah Lawas, ditangguhkan ke Rabu ini (6 Oktober) setelah tiga guru disahkan positif Covid-19.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Mohamad Alamin berkata, ia membabitkan dua guru dari SMK Merapok dan seorang guru dari SMK Trusan.

"Pihak Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pendidikan Daerah Lawas akan terus memantau perkembangan di kedua-dua sekolah ini.

“Kita harap perkara ini tidak akan berpanjangan dan mudah-mudahan sekolah dapat dibuka secepat mungkin kerana kedua-dua sekolah itu adalah sekolah berasrama dan sudah ramai pelajar yang balik untuk memulakan sesi pembelajaran bersemuka,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Matang Jaya di sini pada Isnin.

Mohamad seterusnya meminta ibu bapa agar tidak bimbang, dan membenarkan anak-anak mereka hadir ke sesi persekolahan memandangkan ia dilaksanakan dengan garis panduan yang ketat. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!