Bincang buka sempadan Malaysia-Singapura

HASNI MOHAMMAD
HASNI MOHAMMAD
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peningkatan kes Covid-19 di Singapura tidak menghalang perbincangan berhubung pergerakan rentas sempadan terutama bagi rakyat Malaysia yang berulang-alik ke republik itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, peningkatan atau penurunan kes Covid-19 di Singapura bukan lagi isu utama kepada pertimbangan pembukaan sempadan memandangkan kadar vaksinasi di kedua-dua negara sudah meningkat.

"Jika sebelum ini Skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) Malaysia-Singapura tidak dilakukan disebabkan kita masih lagi menunggu kaedah-kaedah berdepan Covid-19 ini, tetapi keadaan sekarang berbeza.

"Sekarang dengan adanya pelbagai vaksin Covid-19 dan Singapura telah memikirkan dos ketiga selain menggalakkan kempen dengan setiap keluarga dibekalkan dengan kit ujian asas, perkara ini tidak lagi menjadi isu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Johor Tourism Interchange (JTI) dan Virtual Majestic Johor Week di Menara JLand di sini pada Isnin.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Mengulas lanjut, Hasni memberitahu, peringkat jawatankuasa teknikal telah bersetuju dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dicadangkan kerajaan negeri.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertindak sebagai sekretariat kepada barisan menteri kanan akan menetapkan tarikh untuk pembentangan.

Artikel Berkaitan:

"Apabila menteri kanan sudah bersetuju, maka perbincangan dengan negara jiran Singapura akan dimulakan," katanya.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah meminta Hasni berbincang dengan Singapura berhubung pergerakan rentas sempadan terutama bagi rakyat Malaysia yang berulang-alik ke negara jiran itu kerana bekerja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!