Sedia peluang kerja belia sebagai tukang emas
KUANTAN - Lebih ramai golongan belia termasuk komuniti B40 di negeri ini berpeluang bekerja sebagai tukang emas pada pertengahan tahun hadapan.
Pengerusi Koperasi Muafakat Makmur Malaysia Berhad (Ko-Makmur), Datuk Hishamuddin Abdullah berkata, pengambilan pekerja untuk meneroka bidang pertukangan emas dilakukan selepas Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan akademik kecemerlangan emas siap beroperasi sepenuhnya.
Menurutnya, dijangkakan menjangkakan pusat R&D dan akademik kecemerlangan emas yang sedang dalam pembinaan itu dibuka pada pertengahan Januari 2022.
"Selepas siap (pusat R&D dan akademik kecemerlangan emas) kita akan memberi latihan kepada golongan belia yang berminat untuk menceburi bidang pertukangan emas.Mereka ini akan diberikan pendedahan dari segi mutu emas dan teknik pertukangan emas secara tradisional serta moden selama dua hingga bulan sebelum ditawarkan untuk bekerja di kedai-kedai emas milik Makmur Gold.
"Buat masa ini, kita sudah ada 50 tukang emas di semua cawangan Makmur Gold. Kita juga akui permintaan terhadap tukang emas ini sangat tinggi dipasaran pekerjaan.
"Atas sebab itu, kita berusaha mahu melahirkan lebih ramai pekerja mahir dalam pertukangan emas dan
yang dapat memberi manfaat kepada lebih 500 kedai emas di seluruh negara dengan pendapatan sekitar RM4,000 hingga RM5,000 sebulan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan di pusat R&D dan akademik emas bersama Ketua Eksekutif Kumpulan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM),Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad dan Datuk Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Hussin di pejabat Sirim dipekarangan pejabat SIRIM, pada Isnin.
Sebelum itu, SIRIM Berhad dan Ko-Makmur menjalin kerjasama strategik membangunkan R&D dan akademik kecemerlangan emas yang terbesar di negara ini.
Pusat penyelidikan itu adalah pertama di Malaysia yang memfokuskan kepada R&D berkaitan kesenian, reka bentuk dan kaedah pemasaran produk berasaskan emas.
Hishamuddin berkata, penerokaan secara serius dalam industri emas memberi pendedahan kepada masyarakat tentang potensi perniagaan itu.
Katanya, pihaknya pernah menjalankan penyelidikan di Kota Bahru, Kelantan mendapati urus niaga emas di negeri terbabit dianggarkan RM500 kilogram sebulan.
"Jumlah itu cukup besar dan melihat potensi ini menggalakkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk SIRIM bagi mengembangkan lagi industri di di peringkat antarabangsa," katanya yang turut memiliki kedai emas di Kota Bahru.
Sementara itu, Hamdan berharap Kuantan akan menjadi tarikan pelancongan dan pelabur apabila pusat penyelidikan emas sudah mula beroperasi.
"Kita tahu pasaran ( market) peminat dan pelabur emas begitu luas sehingga di seluruh dunia. Apabila SIRIM telah meletakkan satu standard yang tinggi hasil Makmur Gold ia pasti dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Kuantan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!