Perbelanjaan RMK12 perlu dilapor secara berkala di Parlimen

Mohd Shafei
Mohd Shafei
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran membuat laporan berkala di Parlimen mengenai perbelanjaan RM400 bilion untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kerana menjadi Rancangan Malaysia terbesar dalam sejarah negara.

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkara itu dicadangkan bersandarkan pelaksanaan RMK8 hingga RMK11 untuk mencapai sasaran Wawasan 2020 yang disifatkan gagal.

“Jika kita perhatikan 20 tahun kebelakangan ini (RMK8 hingga RMK11) perbelanjaan kerajaan sepanjang tempoh tersebut bernilai RM860 bilion dengan nilai purata RM43 bilion setiap tahun.

“Walaupun dengan perbelanjaan sebesar itu, ternyata kita masih gagal mencapai sasaran Wawasan 2020. Ini dapat dilihat menerusi beberapa indikator iaitu dari tahun 1971 hingga 2015 kadar pertumbuhan ialah 6.2 peratus setahun menurum kepada 2.7 peratus setahun bagi tempoh 2016 hingga 2020.

“Pada tahun 2020 pula, Pendapatan Negara Kasar Malaysia pula ialah 20 peratus di bawah tahap negara maju. Ini bukan suatu perkembangan yang baik dan memberangsangkan yang kita semua boleh banggakan.

“Rancangan Pembangunan Malaysia sebelum ini iaitu RMK11 pula jauh tersasar dari sasaran sebenar. Antaranya, ekuiti korporat rakyat tempatan sama ada bukan bumiputera atau bumiputera pula menurun kepada 30.7 peratus dan 16.2 peratus,” katanya ketika membahaskan RMK12 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perlu diakui terdapat cabaran globalisasi, liberalisasi mahupun pandemik yang memungkinkan segala perancangan pembangunan negara tidak menepati sasaran.

Justeru katanya, adalah penting untuk menilai cara pelaksanaan sama ada terdapat banyak ketirisan atau penyebab lain yang menjadi faktor pelaksanaan gagal.

Artikel Berkaitan:

“Contohnya, Sabah dan Sarawak, dimana silapnya? Sabah dan Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber asli yang paling tinggi dalam negara.

“Namun statistik menunjukkan Sabah dan Sarawak masih lagi jauh ketinggalan daripada negeri lain di Semenanjung Malaysia.

“Justeru, Kerajaan perlu jujur dan tunaikan kesemua 21 tuntutan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang mana 17 daripadanya telahpun berjaya ditunaikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila mengambil alih tampuk pimpinan negara selepas Pilihan Rata Umum ke-14 (PRU14) yang lalu,”katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa kerajaan mencari cara dan kaedah untuk mengurangkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar, jurang antara wilayah, jurang antara kaum, jurang antara kumpulan pendapatan terutamanya dari golongan B40 dan miskan bandar.

"Ia perlu menjadi teras rancangan pembangunan negara. Hanya dengan mengurangkan jurang perbezaan, maka barulah kemakmuran dapat dinikmati bersama secara saksama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!