Pengusaha chalet terjejas kejadian kepala air dibantu

Zulkifli (Kanan di belakang) ketika majlis penyerahan paip berkenaan di Kem Palas, Yan pada Ahad.
Zulkifli (Kanan di belakang) ketika majlis penyerahan paip berkenaan di Kem Palas, Yan pada Ahad.
A
A
A

YAN - Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kedah (Amal Kedah) menyampaikan sumbangan 25 gulung paip air kepada Persatuan Pengusaha Chalet Daerah Yan untuk membantu pengusaha yang terjejas dalam kejadian kepala air pada Ogos lalu.

Pengerusi Amal Kedah, Zulkifli Baharom berkata, sumbangan itu adalah kerjasama antara Amal Kedah dengan Pejabat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Jerai dengan kos sebanyak RM16,000.

Beliau berkata, lebih 30 ahli Amal Kedah yang terkenal dengan jolokan 'semut merah' akan turun padang membantu memasang paip sepanjang tiga kilometer itu.

"Kita bersimpati dengan nasib 13 pengusaha chalet di sini yang berusaha untuk membangunkan semula perniagaan mereka. Kita berharap usaha ini dapat merancakkan kembali kawasan pelancongan di sini," katanya ketika majlis penyerahan paip berkenaan di Kem Palas di sini pada Ahad.

Beliau berkata, sumbangan itu merupakan kali kedua dilakukan jabatan berkenaan untuk membantu penduduk mendapatkan sumber air bersih.

"Sebelum ini kita mengeluarkan kos sebanyak RM11,000 untuk membeli paip air sepanjang dua kilometer bagi kegunaan penduduk di Kampung Ruat.

"In sya ALLAH, sekiranya ada lagi permohonan akan datang, kita akan mempertimbangkan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Chalet Daerah Yan, Dr Ahmad Bashir berkata, beliau mewakili pengusaha chalet lain bersyukur dengan bantuan berkenaan yang dapat membantu mereka mendapatkan air bersih untuk beroperasi.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap usaha semua pihak akan memeriahkan kembali aktiviti pelancongan di daerah ini dan kami dapat menumpang mencari rezeki seperti dahulu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!