Bekas pengurus hartanah tak mengaku terima suapan RM300,000
KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengurus hartanah di sebuah syarikat minyak dan gas yang sebelum ini didakwa atas tuduhan rasuah, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas enam pertuduhan sama berjumlah RM300,000.
Len Chia Whey, 37, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut semua pertuduhan, Chia Whey didakwa melakukan kesalahan itu daripada pemilik pemilik sebuah syarikat berusia 45 tahun melalui seorang lagi lelaki.
Ia sebagai upah membantu Vertex Superieur mendapatkan kontrak ‘Construct the Petrol Station (Together with the Commercial Outlet and Ancillary Facilities) on Turnkey Basis, Full Underground Tank and Fuel Replacement' dan 'PDKR of Shell SS6 Station Hacking and Reconstruction of Co’ di Kelana Jaya.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di pusat beli belah di Bangsar Village 2, Jalan Telawi, Bangsar Baru, antara 3 April dan 29 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide manakala tertuduh diwakili peguam Gooi Soon Seng dan Ooi Pen Lyn.
Azura membenarkan tertuduh mengguna pakai ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin yang diberikan di mahkamah sama sebelum ini.
Chia Whey juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di Pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali.
Mahkamah menetapkan 12 November depan untuk sebutan semula kes.
Pada 15 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, Chia Whey bersama isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 18 pertuduhan menerima rasuah dan melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM1.17 juta antara tahun 2018 dan 2019.
Sementara pada 16 Mac lalu, Chia Whey mengaku tidak bersalah terhadap 11 pertuduhan lagi rasuah melibatkan wang berjumlah RM2.6 juta berhubung projek pembinaan empat buah stesen minyak di Selangor, Melaka dan Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!