'Beri Sabah kuasa autonomi urus dana pembangunan ekonomi'

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sabah perlu diberi autonomi bagi mengurus sendiri dana ekonomi dan pembangunan khusus untuk negeri itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi membolehkannya keluar dari status negeri miskin di negara ini.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang menegaskan perkara itu dalam sesi perbahasan RMK12 di Dewan Rakyat hari ini, berkata ini memandangkan negeri itu masih dikategorikan sebagai miskin walaupun sudah 58 tahun Sabah menyertai Malaysia malah kerajaan pun bertukar ganti.

Beliau berkata pemberian autonomi itu dilihat antara langkah yang membolehkan Sabah membangun setara dengan negeri-negeri di Semananjung, dengan Kerajaan Persekutuan perlu mengubah pendekatan melaksanakan pembangunan ekonomi mengikut negeri dan wilayah.

“Sekiranya dalam setahun pembangunan RMK12 itu Sabah ada RM5 bilion hingga RM6 bilion, maka bagi duit itu pada kerajaan negeri Sabah, biar kami rancang, kami laksanakan, kami tentukan di mana projek-projek ini sesuai dilaksanakan,” katanya.

Berhubung projek Lebuhraya Pan Borneo, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut meminta agar segala peruntukan berkaitan projek pembangunan infrastruktur di Sabah disalurkan terus kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

“Kita ada JKR yang bertauliah di Sabah yang saya kata lebih hebat, apa Kementerian Kewangan (MOF) perlu buat (peruntukan) projek-projek untuk Sabah salur terus kepada JKR Sabah, sekurang-kurangnya JKR Sabah diiktiraf sebagai satu jabatan teknikal bertauliah,” katanya.

Berhubung bencana alam yang kerap berlaku di Sabah mutakhir ini, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menyuarakan permasalahan mengenai terlalu banyak peringkat yang perlu dihadapi bagi memohon peruntukan khas berkaitan, sehingga menyukar dan melambatkan permohonan.

Cadangnya peruntukan khas kira-kira RM100 juta hingga RM200 juta setahun sepatutnya disalurkan kepada kerajaan negeri bagi tujuan melaksana atau menyelesaikan urusan sekiranya berhadapan dengan hal-hal kecemasan dan bencana alam sepeti tanah runtuh dan banjir.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Bung Moktar meminta Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan semula kegemilangan Labuan suatu masa dahulu yang dikunjungi ramai terutama penduduk Sabah kerana barangannya yang murah.

Beliau mendakwa ini kerana Labuan kini tidak ubah seperti sebuah bandar ‘diserang garuda’, yang bebas cukai cuma coklat.

“Yang lain-lain tiada lagi bebas cukai, apa harga (barangan) di tanah besar sama juga di Labuan, tolonglah bangunkan Labuan, kembalikan status Labuan bebas cukai.

“Menteri tolong datang Labuan buat kajian, kalau Kerajaan Persekutuan tidak laksanakan buat apa-apa maka kembalikanlah Labuan kepada Sabah, biar kami bangunkan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!