Empat anggota militan ditemui maut
NARATHIWAT (Selatan Thailand) - Empat anggota militan yang dikehendaki pihak berkuasa ditemui maut di sebuah hutan paya di Bacho, Narathiwat selepas enam hari dikepung.
Jurucakap Pusat Arahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Bahagian Ke-4, Kol Kiattisak Neewong berkata, pasukan keselamatan telah mengepung hutan paya itu selama enam hari.
Insiden berbalas tembakan turut dilaporkan berlaku semasa mereka dikepung dengan seorang anggota keselamatan maut dalam kejadian tembakan pada Sabtu lepas.
“Pada awal pagi Ahad, insiden berbalas tembakan lagi berlaku dan berlanjutan sehingga lewat petang. Apabila keadaan reda, pasukan keselamatan menemui empat mayat di hutan paya.
“Tiga laras senjata api jenis Rifle dan sepucuk pistol serta dua butir bom tangan ditemui berdekatan dengan mayat,” katanya pada satu sidang akhbar di sini pada Isnin.
Beliau menambah, kesemua anggota militan itu mempunyai rekod jenayah dan beberapa waran tangkap tertunggak.
Mayat keempat-empat anggota militan itu dituntut ahli keluarga selepas proses bedah siasat dan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Duku Surau Bacho. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!