Kemelut politik Melaka: Mahdzir yakin langkah penyelesaian sedang dilakukan

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin terdapat usaha dilakukan untuk menyelesaikan kemelut politik yang melanda kerajaan Melaka ketika ini.

Tanpa memperincikan usaha itu, beliau berkata, kemelut tersebut juga seharusnya dipandang secara serius oleh kepimpinan UMNO khususnya di peringkat pusat.

"Sehingga petang ini, apa yang berlaku di Melaka kita masih belum jelas kerana terdapat beberapa maklumat yang berlainan.

"Namun apa yang berlaku itu seharusnya dipandang serius kepimpinan parti dan saya yakin terdapat usaha-usaha penyelesaian yang sedang dilakukan berhubung perkara itu," katanya sebagai mengulas kemelut berkenaan.

Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar ditemui media selepas menyempurnakan program Sesi Penghargaan Secara Maya kepada tujuh peserta dan empat pakar negara yang menyertai Worldskills Competition 2021 di Ibu Pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini pada Isnin.

Pada Isnin, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Melaka mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu). - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 4 ADUN Melaka umum hilang percaya terhadap Ketua Menteri

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: PH Melaka akan menghadap TYT

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!