Malaysia kecewa Myanmar tidak beri kerjasama dengan Duta Khas Asean
KUALA LUMPUR - Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia kecewa kerana pihak berkuasa Myanmar gagal untuk bekerjasama dengan Duta Khas ASEAN.
Saifuddin dalam ciapannya di Twitter berkata, kekecewaan itu disuarakan di Mesyuarat Menteri Luar ASEAN hari ini.
"... (dan) kecuali jika ada kemajuan, adalah sukar untuk melihat kehadiran Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) di Sidang Kemuncak ASEAN (26-28 Oktober 2021)," katanya mengenai penyertaan pemimpin junta Myanmar di sidang kemuncak itu.
SAC dengan 11 anggota dibentuk dan dipengerusikan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing untuk memerintah Myanmar selepas rampasan kuasa 1 Februari 2021 yang menggulingkan pemerintahan awam pimpinan Aung San Suu Kyi.
Rampasan kuasa itu mencetuskan pemberontakan dalam kalangan rakyat Myanmar dan kekerasan yang dilakukan agensi keselamatan negara itu menyaksikan ramai orang awam terbunuh.
Erywan Yusof, menteri luar II Brunei, dilantik sebagai Duta Khas ASEAN ke Myanmar, selepas beberapa bulan rundingan antara blok itu dengan junta Myanmar.
Dilaporkan, Erywan tidak dapat membuat banyak kemajuan kerana pihak berkuasa di Myanmar gagal untuk bekerjasama, termasuk tidak membenarkan duta khas itu masuk ke negara berkenaan.
Peranan duta khas itu disepakati di Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN di Jakarta pada April, menyaksikan negara-negara anggota mencapai Konsensus Lima Perkara dalam mencari jalan keluar krisis di Myanmar.
Konsensus lima perkara itu yang pertama, menghentikan serta-merta keganasan di Myanmar dan semua pihak mengambil langkah untuk bertenang; kedua, dialog konstruktif antara semua pihak yang berkenaan akan dimulakan untuk mencari jalan penyelesaian damai demi kepentingan rakyat; ketiga, duta khas Pengerusi ASEAN akan memudahkan perantaraan proses dialog dengan bantuan Ketua Setiausaha ASEAN; keempat, ASEAN akan memberikan bantuan kemanusiaan melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA) ; dan kelima, duta khas dan delegasi akan melawat Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak yang berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!