MBSP rangka pelan Pra Fasa Tiga PPN
BUKIT MERTAJAM - Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah bersiap sepenuhnya sekiranya Pulau Pinang beralih ke fasa tiga bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam masa terdekat.
Untuk tujuan itu, MBSP telah pun merangka beberapa pelan tindakan Pra Fasa Tiga PPN termasuk menetapkan garis panduan melibatkan pengoperasian pasar awam, kompleks makanan MBSP, pasar malam, pasar tani, 'uptown', taman rekreasi dan bangunan strata.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, pasar awam dan medan selera kendalian pihak berkuasa tempatan itu akan dikawal oleh anggota dan penguat kuasa MBSP untuk memastikan individu yang berisiko tidak terlepas masuk ke dalam kawasan perniagaan itu.
Menurutnya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat daripada peraturan sebelum ini akan dibuat selain memastikan orang ramai melakukan rutin wajib dengan membuat pemeriksaan suhu, imbas maklumat di aplikasi MySejahtera atau menulis maklumat pada buku rekod disediakan.
Beliau berkata, hanya pelanggan yang berstatus 'low risk' serta 'casual contac low risk' dibenarkan masuk.
"Setakat ini MBSP telah mengenal pasti 14 buah pasar awam hotspot di kawasan Seberang Perai yang perlu diberi perhatian khusus agar pusat perniagaan terbabit tidak lagi ditutup berikutan penularan wabak Covid-19 yang pernah berlaku sebelum ini.
"Semua peniaga, pekerja dan pelanggan di pasar awam hotspot mestilah telah selesai mendapatkan kedua-dua dos suntikan vaksin lengkap sebelum berniaga dan orang ramai membeli barang keperluan mereka.
"Pemantauan pematuhan SOP akan ditingkatkan lagi di semua pasar awam itu namun sekiranya berlaku ketidakpatuhan atau pelanggaran SOP, MBSP akan terus kenakan tindakan penutupan tiga hari terhadap peniaga terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada, Selasa.
Rozali berkata, selain pasar awam dan kompleks makanan yang dibuka, malalui pelan tindakan MBSP Pra Fasa Tiga PPN juga menggariskan SOP pengoperasian pasar malam, pasar pagi, pasar tani dan 'uptown' yang kembali memeriahkan aktiviti urus niaga di seluruh Seberang Perai.
Jelasnya, selain pematuhan SOP sedia ada sebelum orang ramai memasuki tapak perniagaan terbabit, semua peniaga, pekerja dan pelanggan mestilah sudah mendapat dua suntikan lengkap vaksin sebelum dibenar masuk.
"Mulai 1 November semua peniaga dan pembantu diwajibkan sudah selesai mendapatkan kedua-dua vaksin dan pihak penganjur juga perlu memberikan laporan status vaksinasi semua peniaga terlibat untuk tindakan selanjutnya yang akan dilakukan oleh MBSP,"katanya.
Sementara itu, Rozali berkata pihaknya akan menempatkan anggota untuk kawalan statik di beberapa taman rekreasi di sini yang sering menerima kunjungan ramai pada waktu tertentu.
Katanya, kawasan yang terlibat seperti di Taman Rekreasi Taman Tunku, Taman Rekreasi PBAPP Bukit Do, Robina Eco Park, Pantai Bersih dan Vission Park Bertam.
Bagaimanapun tambahnya, kawalan secara berkala juga akan dibuat di 17 lokasi taman rekreasi lain serta 925 kawasan lapang di Seberang Perai.
"Hanya mereka yang lengkap dengan dua dos suntikan vaksin sahaja boleh melalukan aktiviti di taman rekreasi dan kawasan lapang awam manakala kanak-kanak bawah umur 17 tahun dibenarkan turut bersama dengan syarat mereka bersama waris atau ibu bapa yang turut lengkap menerima vaksin.
"Alat permainan serta peralatan gym yang disediakan boleh digunakan dengan syarat pengunjung mengamalkan penjarakkan fizikal ketika beriadah di kawasan itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!