88 peratus populasi dewasa divaksinasi sepenuhnya
KUALA LUMPUR - Sebanyak 20,603,249 individu atau 88 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 masing-masing setakat Isnin.
Perkembangan terbaharu itu menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus vaksinasi dewasa kini hanya tinggal kira-kira 2.2 peratus.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan di portal COVIDNOW, 94.4 peratus atau 22,098,764 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Setakat Isnin juga, sebanyak 114,124 atau 3.6 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.
Perincian itu juga memaklumkan sebanyak 221,812 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 126,433 dos pertama dan 95,379 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 44,573, 891 dos.
PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.
Sementara itu, dua kes kematian harian akibat Covid-19 dilaporkan pada Isnin dengan kedua-duanya membabitkan kematian di luar hospital (BID) menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini 26,759. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!