Pakistan ikrar siasatan terperinci susulan pendedahan Pandora Papers
ISLAMABAD - Pakistan berikrar menjalankan siasatan terperinci berkutan pendedahan Pandora Papers membabitkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan dan selebriti yang didakwa menyembunyikan wang, pelaburan serta aset untuk elakkan cukai.
Menteri Dalam Negeri, Sheikh Rasheed Ahmad berkata, nama-nama dalam senarai Pandora Papers akan disiasat.
Pada satu sidang media di Islamabad, Sheikh Rasheed berkata, siasatan akan dilancarkan dengan secepat mungkin.
Tambah beliau, 700 warga Pakistan yang namanya terdapat dalam senarai Pandora Papers akan dipanggil.
"Perdana Menteri Pakistan telah mengumumkan kesemua 700 warga Pakistan yang namanya terdapat dalam senarai itu akan disiasat. Itu sudah memadai," katanya.
Pada Ahad International Consortium of Investigative Journalists melibatkan 600 wartawan daripada 150 organisasi media di 117 negara membuat pendedahan apa yang digelar Pandora Papers.
Antara lain, ia mendedahkan transaksi golongan elit dan korup yang menyembunyikan aset bernilai bertrillion dolar AS di dalam pelbagai akaun luar pesisir di mana mereka dilapor mengambil langkah tersebut antara lain untuk mengelak bayar cukai.
Beberapa anggota yang rapat dengan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan turut disebut dalam pendedahan Pandora Papers.
Imran Khan sendiri menafikan terlibat sebarang kesalahan berikutan pendedahan itu.
Secara keseluruhannya, dokumen itu menyenaraikan lebih 330 ahli politik sekarang dan bekas ahli politik membuka akaun rahsia didakwa untuk tujuan mengelak membayar cukai.
Antara yang didakwa memiliki akaun pesisir itu termasuk Raja Jordan, Raja Abdullah II; bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair; Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta; dan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Sementara itu, Raja Jordan, Raja Abdullah II pula nafi terlibat dan memiliki kediaman mewah di luar negara yang berharga lebih AS$100 juta sebagaimana dakwaan serta pendedahan dalam Pandora Papers.
Sebaliknya kata Raja Abdullah, tujuan pendedahan itu adalah untuk memburuk-burukan Jordan.
Pendedahan Pandora Papers menyusul ketika mana abangnya pada tahun lalu didakwa terlibat dalam rasuah sekali gus mencemarkan imej Keluarga Diraja Jordan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!