Krisis Melaka: PM serah pada Presiden UMNO

Ismail Sabri (depan, tengah) melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 bertempat di Pekarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Ismail Sabri (depan, tengah) melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 bertempat di Pekarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan parti bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda Melaka ketika ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Ahmad Zahid sudah berhubung dan berbincang dengan Pengerusi UMNO Melaka berkaitan isu itu.

"Isu Melaka ini, kita serahkan kepada kepimpinan parti. Lagipun, ia melibatkan keputusan parti, saya serahkan pada Presiden UMNO untuk menyelesaikan isu ini," katanya selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 bertempat di Pekarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Mengulas mengenai kemungkinan pilihan raya negeri (PRN), beliau menjelaskan, pelbagai pandangan dan kebimbangan orang ramai terhadap kemungkinan PRN.

Mengambil contoh PRN Sabah, kes Covid-19 meningkat mendadak selepas PRN Sabah dibuat.

"Bagaimanapun, saya tak tahu jika kemungkinan ia diadakan. Kalau diadakan, mungkin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk memastikan kawalan dapat dibuat.

"Saya percaya, kita akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan juga tapi setakat ini, kita tak tahu apa yang bakal berlaku, begitu juga keputusan TYT (Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam). Kita tunggu," ujarnya.

Ditanya jika situasi sama merebak ke Putrajaya, beliau menjelaskan, sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam politik.

Artikel Berkaitan:

"Perkara yang mustahil boleh berlaku, begitulah sebaliknya. Dalam politik, kita tak boleh nak buat spekulasi yang tepat tentang apa yang akan berlaku. Kita harap keadaan stabil.

"Sekarang ini, selepas MoU ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang, kita lihat politik stabil. Bukan sahaja stabil di Parlimen tetapi seluruh negara.

"Tidak berlaku politiking melampau seperti dulu yang akhirnya rakyat lihat, orang politik ini hanya berpolitik tanpa melihat kepentingan negara dan rakyat.

"Kita lihat, semua menunggu kepada soal pembangunan, ekonomi, tak kira sama ada kerajaan atau pembangkang, nampak kerjasama itu baik dan rakyat suka perkara ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!