Soalan mengenai hijab ketika temuduga kerja tindakan diskriminasi
SEOUL - Bertanyakan soalan kepada pemohon pekerjaan sama ada akan memakai hijab di tempat kerja adalah satu tindakan diskriminasi, kata pemantau hak asasi manusia Korea Selatan.
Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Korea (NHRCK) pihaknya telah menyarankan kepada ketua sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bertindak bagi memastikan perkara itu tidak berulang, lapor Agensi Berita Yonhap.
Saranan itu dibuat selepas seorang wanita, yang identitinya tidak didedahkan, mengemukakan petisyen terhadap NGO tersebut dengan mendakwa beliau memohon jawatan sebagai jurubahasa dan penterjemah pada 2019 tetapi gagal mendapat pekerjaan itu kerana memakai tudung.
Menurut NHRCK, pemohon mendakwa penemuduga NGO berkenaan memaklumkan organisasi itu tidak menerima pekerja berhijab kerana ia boleh menjadi 'halangan' untuk bekerja dengan orang dari negara lain.
Badan pemantau itu menyatakan di negara lain termasuk Jerman, Britain dan Jepun, soalan yang tidak berkaitan dengan keperluan pekerjaan dianggap diskriminasi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!