Kerajaan Perak stabil: Saarani
IPOH - Kemelut politik yang berlaku di Melaka tidak akan merebak ke Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan Perak kekal stabil dan fokus semua pihak ketika ini terarah kepada pembentangan belanjawan.
Menurutnya, kerjasama baik juga ditunjukkan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang turut sama dalam sesi libat urus Belanjawan Perak 2022 pada minggu lalu.
"Insya-ALLAH tak ada (kemelut politik), di Perak Insya-ALLAH stabil dan kita akan beri perhatian untuk membuat persiapan bagi membentang belanjawan negeri.
"Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk rakan pembangkang yang telah memberi pandangan (mengenai belanjawan negeri), kita mengambil kira semua pandangan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Izzuddin Shah, di sini pada Selasa.
Menurutnya, fokus belanjawan kali ini akan tertumpu kepada usaha untuk memulihkan ekonomi negeri dan memberi perhatian kepada kebajikan rakyat yang terkesan akibat Covid-19.
Saarani berkata, kerajaan negeri juga akan sedaya upaya berlaku adil menerusi pembentangan belanjawan negeri biarpun semua permintaan tidak dapat dipenuhi disebabkan kekangan kewangan dan sumber yang tidak mencukupi.
Pada Isnin, kemelut politik melanda negeri Melaka apabila empat ADUN mengumumkan tidak lagi menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan kerajaan Melaka tumbang apabila hilang majoriti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!