MOTAC teliti keperluan kawal selia agensi pelancongan dalam talian

Nancy Shukri - Foto fail Bernama
Nancy Shukri - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang meneliti keperluan bagi mewujudkan satu mekanisme kawal selia terhadap agensi pelancongan dalam talian (OTA).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, hal demikian adalah kerana ketika ini belum ada sebarang undang-undang atau peraturan yang mengawal selia segmen industri pelancongan itu di Malaysia.

Jelasnya, penelitian itu dibuat bagi memastikan kualiti perkhidmatan premis penginapan ditingkatkan, sekali gus berupaya meningkatkan industri berkenaan ke tahap yang lebih baik.

"Penelitian ini, antara lain, sudah pasti turut melihat isu mengenai kadar komisen yang dikenakan oleh setiap syarikat OTA kepada premis penginapan.

"Namun, kita perlu objektif dalam menimbang perkara ini. Ini kerana, pelbagai faktor perlu diambil kira dalam memutuskan suatu dasar untuk hal ini.

"Ia seperti kuasa pasaran bagi menyokong pembangunan digitalisasi, serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk membolehkan sesebuah syarikat berminat untuk terus beroperasi di Malaysia," katanya ketika sesi waktu pertanyaan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) sama ada kementeriannya bercadang menetapkan paras siling komisen harga jualan bilik melalui OTA memandangkan harga yang ditetapkan ketika ini dianggap membebankan pengusaha hotel.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, ketika ini pengoperasian, kerjasama antara syarikat OTA dengan premis penginapan pelancong, mahupun transaksi dengan pengguna adalah antara persetujuan terma dan syarat antara pihak-pihak yang terbabit sahaja.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ini termasuklah penetapan kadar komisen masa kini adalah berdasarkan persetujuan aturan perniagaan kedua-dua pihak iaitu di antara syarikat OTA dan premis penginapan pelancong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!