Terima suapan: Lapan pegawai penjara direman enam hari
GEORGETOWN - Lapan pegawai penjara direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes menerima wang suapan yang dianggarkan bernilai lebih RM120,000 dari seorang wanita warga asing.
Turut direman seorang wanita warga Indonesia yang merupakan pemandu kereta sapu kerana didakwa bertindak sebagai orang tengah dalam kes terbabit.
Kesemua mereka direman sehingga 11 Mac oleh Pegawai Pendaftar Mahkamah Rendah (Jenayah), Muna Maria Azmi di Kompleks Mahkamah Georgetown di sini, pagi tadi.
Semalam, semua pegawai penjara berusia antara 25 hingga 44 tahun tersebut ditahan di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Pahang antara jam 9.45 pagi hingga 10.30 pagi.
Lapan pegawai penjara itu melibatkan enam di Penjara Pokok Sena, Kedah manakala seorang masing-masing di Penjara Bentong, Pahang dan Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang.
Sementara itu, wanita Indonesia yang berusia 45 tahun ditahan di Pulau Pinang pada jam 9.50 pagi hari sama.
Siasatan awal mendapati kesemua pegawai penjara tersebut telah menerima wang suapan daripada pemandu kenderaan tersebut.
Wanita itu didakwa bertindak sebagai orang tengah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kemasukan barangan terlarang ke dalam penjara.
Kesemua pegawai yang terlibat dipercayai menerima wang suapan daripada orang awam yang disyaki waris banduan sebagai balasan untuk membawa masuk artikel larangan kepada banduan di antara 2017 sehingga 2018.
Nilai suapan yang diterima oleh mereka yang disyaki terlibat adalah berbeza iaitu antara RM6,000 hingga RM52,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!