Lebih RM630 juta dibelanjakan untuk Dana Jaminan Makanan
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah membelanjakan lebih RM630 juta menerusi pelaksanaan Inisiatif Dana Jaminan Makanan (DJM) berjumlah RM1 bilion sejak tahun lalu hingga 30 September tahun ini.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM378.18 juta dibelanjakan tahun lalu.
Menurutnya, inisiatif itu diperkenal bagi menjamin bekalan mencukupi, menstabilkan harga produk pertanian serta meluas dan memperkukuh ruang pasaran sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
"Bagi program-program di bawah pakej-pakej DJM tahun 2021 yang berjumlah RM488 juta pula, program-program ini sedang dalam peringkat pelaksanaan dan sebanyak RM260.65 juta bersamaan 53.41 peratus telahpun dibelanjakan.
"Baki peruntukan ini dijangka akan selesai dibelanjakan menjelang akhir tahun ini," ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) yang mahu tahu berapa jumlah yang telah dibelanjakan daripada RM1 bilion DJM tersebut.
Mengulas lanjut, Ronald berkata, perlaksanaan DJM ini merupakan pelengkap kepada pelbagai subsidi, insentif dan bantuan yang disediakan di bawah MAFI kepada golongan sasar iaitu pesawah, petani, penternak, nelayan dan pengusaha pertanian.
Menurutnya, bagi pelaksanaan tahun 2020, seramai 198,000 individu atau persatuan telah menerima bantuan di bawah Pakej Prihatin 2020.
"Selain itu, seramai 32,000 individu atau persatuan telah menerima pakej bantuan secara langsung di bawah Pakej Penjana," katanya.
Katanya, penerima manfaat ini dijangka akan meningkat setelah pelaksanaan inisiatif DJM ini selesai sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!