Itali waspada dendam Sepanyol
PENGENDALI Itali, Roberto Mancini mengakui pasukannya bakal berdepan kesukaran untuk menjuarai Kejohanan Liga Negara-Negara UEFA walaupun memegang gelaran selaku juara Euro 2020.
Menurutnya, dia menjangkakan tentangan sukar bakal diberikan oleh Sepanyol dalam aksi separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA di San Siro pada awal pagi Khamis ini.
Malah, Mancini turut menyifatkan aksi berbeza akan dipamerkan skuad La Roja itu berbanding ketika Itali mencatatkan kemenangan menerusi penentuan penalti ke atas pasukan itu pada aksi separuh akhir Euro 2020.
"Sepanyol adalah pasukan yang bergelut semasa Euro 2020. Mereka memiliki pasukan dan pemain yang bagus.
"Ia akan menjadi perlawanan yang bagus. Hantaran bola rendah adalah elemen yang menjadi kekuatan Sepanyol. Kami tidak cukup masa untuk menguasainya dan berada pada tahap mereka. Ia akan menjadi berbeza kali ini.
"Pada masa sama, akan menjadi sangat menarik sekiranya dapat menjuarai Liga Negara-Negara selepas Euro 2020 dan jika kami dapat layak awal ke Piala Dunia. Tetapi ia tidak mudah," katanya.
Itali yang gagal untuk layak ke Piala Dunia 2018 melalui transformasi di bawah kendalian Mancini untuk memenangi Euro 2020 - Kejuaraan Eropah pertama mereka sejak 1968.
"Ia menjadi sangat baik kerana kami membuatkan ramai orang gembira dengan kemenangan di Euro. Perkara paling baik tentang Euro? Sudah tentu hubungan baik dalam pasukan. Ia adalah kumpulan yang bekerjasama untuk tempoh 50 hari dan ia tidak mudah.
"Persepsi untuk pasukan Itali sudah berubah, tetapi kita tidak boleh lupakan Itali adalah pasukan yang telah memenangi empat Piala Dunia. Kami adalah juara Euro dan kami ada sejarah yang signifikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!