Baharu sambut Fasa 3, rakyat Melaka luah rasa kecewa
MELAKA - Rata-rata rakyat Melaka melahirkan kekecewaan terhadap pergolakan politik di negeri itu apatah lagi Melaka baharu beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jumaat lalu.
Pesara tentera, Ahmad Md Hassan, 56, berkata, rakyat baharu menarik sedikit nafas lega dengan peralihan fasa baharu itu namun konflik tercetus gara-gara perebutan kuasa membuatkan rakyat berasa kecewa dengan tindakan beberapa wakil rakyat.
Menurutnya, ketika rakyat mengharapkan ekonomi dapat dipulihkan, wakil rakyat seharusnya tidak tergopoh-gapah menterjemahkan rasa tidak puas hati mereka.
"Sebagai rakyat Melaka, saya kecewa, sepatutnya mereka sabar dan tunggulah dulu, dalam keadaan sekarang memang tak sesuai nak buat PRU atau Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Saya kecewa, mereka patutnya memberikan fokus kepada kerja-kerja membantu rakyat, namun kini mereka lebih mementingkan politik.
"Dengan mengambil kira apa yang pernah berlaku di Sabah, PRN tidak sesuai dilaksanakan," katanya ketika ditemui di Bukit Katil di sini pada Selasa.
Suri rumah, Noradibah Mohd Shah, 34, menjelaskan, apa yang dilakukan oleh segelintir wakil rakyat itu jelas menunjukkan mereka hanya memikirkan kepentingan diri semata-mata dan tidak mengutamakan kebajikan rakyat.
Ketika negara dalam pandemik Covid-19, jelasnya, mereka seharusnya berganding bahu bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali membantu rakyat yang terjejas untuk bangkit semula.
"Tindakan mereka begitu mengecewakan, di manakah letaknya keprihatinan mereka terhadap rakyat?
"Harap polemik politik ini dapat ditamatkan segera," katanya.
Seorang pelajar, Muhammad Nafi Wahid, 22, berpendapat, keadaan politik yang tidak stabil di Melaka sememangnya mengejutkan dan mengecewakan kerana rakyat mengharapkan berita baik untuk mengukuhkan ekonomi dan politik.
"Pada zaman pandemik ini mereka seharusnya bersatu padu kerana ramai terbeban dan tak perlulah sebarang PRN pada waktu ini demi keselamatan rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!