Kemelut politik di Melaka, tidak mustahil berlaku di negeri lain

Jimmy Puah
Jimmy Puah
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Kemelut politik seperti berlaku di Melaka dijangka menjadi perhatian awam dan boleh berlaku di negeri-negeri lain terutama jika pentadbirannya goyah.

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, kes yang berlaku di Melaka membuktikan negeri dengan majoriti rendah boleh terjejas.

"Kita lihat perkara ini (politik Melaka) bukanlah perkara remeh malah menjadi perhatian. Tidak mustahil akan berlaku di negeri-negeri lain seperti Kedah atau Johor. Tetapi Melaka caranya lain begitu juga di Johor.

"Teliti semua aspek dan kesannya. Keadaan sekarang bukan hanya untuk meraih kuasa tetapi cara kita berfungsi untuk membantu negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri Melaka dilihat tumbang selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongannya kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Isnin.

Empat ADUN berkenaan ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Emas).

ARTIKEL BERKAITAN: 4 ADUN Melaka umum hilang percaya terhadap Ketua Menteri

Jimmy berkata, melihat kes berlaku tersebut, pihaknya bersama pimpinan PH Johor mempunyai pelan berlainan iaitu ketika ini hanya mengutamakan untuk membantu negeri memerangi Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Johor caranya berbeza. Buat masa ini kami tiada masalah dan tumpuan hanya untuk membantu Johor mengatasi Covid-19. Ketika ini rakyat susah dan perlukan perhatian kami. Pada pandangan peribadi saya, lebih baik kami utamakan ini (selesaikan masalah Covid-19) dahulu.

"Kami sekarang tiada masalah, malah kami boleh berjumpa pihak kerajaan tanpa halangan. Kami mahu amalkan politik matang, lebih baik begitu daripada tiada usaha untuk berbakti," katanya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Batu berpendapat, pihaknya akan menggunakan saluran betul dan hanya akan menyuarakan pandangan sekiranya wujud ketirisan dalam pentadbiran atau keputusan yang boleh membelakangkan rakyat.

"Buat masa ini, kami masih bersama kerajaan untuk atasi Covid-19. Kami tunggu dan lihat mungkin sebelum pembentangan Belanjawan Negeri. Biasanya akan ada pertemuan dahulu bersama semua ADUN untuk berkongsi pandangan.

"Jika ada sebarang permasalahan, kami akan cakap, sebab pegangan kami sekarang adalah rakyat. Baik untuk mereka kita sokong dan akan pertikai jika tidak sesuai," katanya.

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan pandangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan di Melaka untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

"Saya setuju perkara itu, tetapi bukan sekarang. Lihatlah apa yang berlaku dan fikir kesannya. Jika kita tunggu lagi mungkin lebih sesuai. Namun, jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan kata sesuai dibuat, mesti mereka sudah fikirkan kaedah terbaik dengan kawalan ketat.

"Tetapi jika boleh dibuat (PRN) di Melaka, mengapa tidak buat sahaja PRU (pilihan raya umum) jika alasannya untuk mengembalikan mandat. Apa yang berlaku kemelut politik) adalah kerana sikap wakil rakyat yang tidak mempunyai pegangan. Sejak awal lagi saya memang mengeji mereka yang tidak berprinsip," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!