Griezmann tetap jadi taruhan Perancis
ANTOINE Griezmann tetap akan menjadi taruhan Perancis di sebalik prestasinya yang tidak berada pada tahap terbaik bersama pasukan kelabnya, Atletico Madrid.
Pengendali Perancis, Didier Deschamps berkata, dia tidak risau dengan prestasi semasa penyerangnya itu dan akan menurunkannya dalam aksi separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA menentang Belgium pada awal pagi Jumaat.
"Gol yang dijaringkannya ketika saingan Liga Juara-Juara bersama Atletico (ketika menentang AC Milan pada Rabu lalu) adalah sanga positif. Waalupun dia hanya masuk sebagai pemain simpanan, namun gol itu memberikan keyakinan kepadanya.
"Dia telah pulang ke kelab lamanya, tetapi dengan pemain berbeza di sekelilingnya. Jadi ia tidak mudah seperti memetik jari untuk menyesuaikan diri.
"Namun, kerana kualiti dan mentalnya, saya tidak risau mengenai dia. Saya tahu dia akan gembira untuk menyertai pasukan Perancis," katanya.
Pemain berusia 30 tahun itu kembali ke Atletico Madrid dari Barcelona secara pinjaman pada Ogos lalu selepas dua musim yang penuh dengan kekecewaan di Camp Nou.
Griezmann dijangka akan kembali berada pada prestasi terbaiknya di Atletico, namun setakat ini dia hanya mampu menjaringkan satu gol dalam tujuh penampilannya bersama kelab itu.
Dalam pada itu, Deschamps percaya misi untuk memenangi saingan Liga Negara-Negara UEFA tidak mudah apatah lagi perlu berdepan Belgium dalam aksi separuh akhir itu.
"Kami akan melakukan apa saja yang termampu untuk layak ke final. Namun, jika kami menang perlawanan separuh akhir, kami perlu berdepan dengan Itali atau Sepanyol di perlawanan akhir.
"Namun, kemenangan adalah sasaran kami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!