Program inovator digital lahirkan bakat muda digital: Menteri Pendidikan

Mohd Radzi semasa Majlis Pelancaran Program DIP dan MoA antara Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) secara dalam talian, pada Selasa.
Mohd Radzi semasa Majlis Pelancaran Program DIP dan MoA antara Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) secara dalam talian, pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Program pendidikan menengah pertama dalam negara, Program Inovator Digital (DIP) yang memberi fokus kepada teknologi digital diyakini melahirkan penginovasi muda yang berbakat.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, program tersebut turut memberi keutamaan dalam bidang keusahawanan dan kurikulum Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) untuk pembangunan bakat teknologi.

Menurut beliau, ia turut memastikan bakat pelajar dalam bidang digital dapat berkembang secara konsisten.

“Melalui kemampuan yang tinggi dalam inovasi digital dan kreativiti dapat meneruskan minat mereka menerusi pendidikan di peringkat menengah di Pusat GENIUS@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan memperkukuh pengajian dalam bidang yang sama di peringkat pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program DIP dan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) secara dalam talian pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau yakin program tersebut mampu mempercepat proses menghasilkan lebih ramai inovator yang bersedia memanfaatkan teknologi digital ABCD iaitu kecerdasan buatan, blok rantai, pengkomputeran awan dan sains data.

“Diharapkan juga kejayaan pelaksanaan program ini akan menetapkan satu penanda aras di sekolah arus perdana selari dengan agenda untuk memacu ekonomi negara berpaksikan inovasi,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, pembangunan DIP merupakan hasil kejayaan program Digital Ninja MDEC, inisiatif kokurikulum tambahan bagi pelajar Tngkatan Satu hingga Lima yang dilaksanakan ketika cuti sekolah dan berjaya melahirkan 515 penginovasi muda berpotensi tinggi sejak lima tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, DIP merupakan inisiatif penting dalam merealisasikan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) iaitu untuk melahirkan pencipta dan penginovasi digital.

“Pelaksanaan program pendidikan menengah untuk murid pintar yang menggunakan faktor utama kejayaan program Digital Ninja, tambahan kepada libat urus mampan antara murid, guru dan mentor industri akan membantu memupuk lebih ramai penginovasi di negara ini.

“Dilengkapi dengan Ruang Pencipta Digital (Digital Maker Space) yang canggih, DIP dapat memupuk kreativiti murid menyelesaikan masalah terkini melalui teknologi digital dengan menyediakan lebih banyak peluang PBL dan bimbingan bagi memupuk kemahiran keusahawanan,” ujar Mahadhir.

Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM merupakan institusi pendidikan untuk pelajar berumur 12 hingga 17 tahun yang pada mulanya hanya merangkumi aliran sains untuk murid-murid yang berbakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!