Kerajaan tawar insentif untuk kenderaan elektrik
KUALA LUMPUR - Kerajaan menawarkan insentif dalam bentuk pengecualian cukai langsung dan tidak langsung bagi aktiviti pemasangan atau pengilangan kenderaan elektrik (EV), pembuatan komponen serta pembangunan ekosistem seperti fasiliti pengecasan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara insentif yang dinikmati oleh pengeluar produk tulen adalah taraf perintis, elaun cukai pelaburan serta pengecualian duti import dan eksais.
“Malaysia mengambil pendekatan banding dan tawar dengan melaksanakan dasar yang komprehensif, jelas dan konsisten merangkumi keseluruhan rantaian bekalan industri EV serta memberi galakan dalam meningkatkan penggunaan EV.
“Manakala pesaing serantau memberi tumpuan insentif hanya kepada pengilang peralatan asal (OEM),” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Mohamed Azmin berkata, Dasar Automotif Nasional telah menggariskan inisiatif khusus bagi memperkukuh ekosistem EV seperti pembuatan komponen kritikal, penetapan standard dan menggalakkan aktiviti pembangunan dan penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi untuk membangunkan teknologi tempatan.
“Kementerian sedang memperhalusi cadangan pakej insentif untuk menggalakkan penggunaan EV yang antara lain pengecualian cukai jalan, pengecualian cukai pendapatan kepada individu yang memasang stesen pengecas EV dan juga insentif kepada pembeli EV melalui pelepasan cukai pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, salah satu fokus kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara adalah pelaksanaan dasar-dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka dan mesra perniagaan.
Beliau berkata, pelaksanaan dasar perdagangan dan pelaburan tersebut adalah termasuk meratifikasi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
“Perjanjian perdagangan bebas ini akan berupaya mempertingkat pasaran eksport bagi produk tempatan melalui pengurangan atau penghapusan duti import di pasaran rakan dagang serta pengurangan halangan bukan tarif,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!