Saksi kemalangan maut di NKVE diminta tampil
PETALING JAYA - Polis meminta saksi kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal yang berlaku di Kilometer 22.7 Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) pada petang Isnin untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa yang berusia 44 tahun itu dipercayai terbabas sebelum terjatuh di lokasi kejadian sekitar jam 2 petang.
"Mangsa seorang lelaki tempatan menunggang motosikal jenis Honda RS150 dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dan telah dimasukkan ke zon kecemasan bagi mendapatkan rawatan pada jam 2.40 petang.
"Mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau meminta saksi kejadian supaya tampil untuk membantu siasatan.
"Sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019 331 8339," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!