Sesi Townhall MPP UiTM Se–Malaysia terap nilai kepimpinan norma baharu
SHAH ALAM - Penganjuran Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Se–Malaysia 2021 mampu menerapkan nilai kepimpinan era baharu dalam menyuarakan pandangan melalui perbahasan dan perbincangan bersama melibatkan 244 ahli MPP seluruh UiTM dalam mencari resolusi bagi memenuhi keperluan mahasiswa.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad yang turut serta dalam sesi Townhall MPP UiTM Se-Malaysia 2021 berkata, era kepimpinan MPP dalam norma baharu menuntut daya kepimpinan mahasiswa yang luar biasa.
Menurutnya, paksi kepimpinan bukan lagi berdasarkan prinsip konvensional sebaliknya mereka perlu berpegang pada prinsip digitalisasi.
“Maknanya, kegagalan MPP dalam mengurus dan menguasai kepimpinan bersifat ‘digital based’ akan menyebabkan mereka boleh hilang daya kecekapan yang diperlukan dalam detik sebegini.
“Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak melunaskan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh pelajar.
“Hubungan simbiotik antara pelajar, MPP, universiti dan masyarakat perlu berlangsung dalam suasana norma baharu yang terlingkup dalam parameter dalam talian,” katanya ketika merasmikan Konvensyen MPP UiTM Se–Malaysia 2021 yang dianjurkan secara hibrid bermula 4 hingga 7 Oktober 2021.
Konvensyen yang bertemakan Melakar Kepimpinan Berprestij turut dihadiri Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Roziah Mohd Janor.
Ahmad Masrizal berkata, beliau mengagumi keupayaan MPP UiTM seluruh Malaysia yang cakna akan untung nasib mahasiswa melalui kepedulian yang tinggi terhadap masalah yang dihadapi mereka dalam hal open distance learning (ODL) dan sebagainya.
“MPP dilihat berjaya memainkan peranan sebagai pihak kedua antara pelajar dan universiti.
“Saya sarankan MPP di seluruh negara selain UiTM agar peka dengan kepimpinan dalam era digitalisasi dan ambil langkah perlu untuk memperbaharui dan meningkatkan kemahiran kendiri dalam bidang ini,” ujar beliau.
Program tersebut akan bermula dengan Persidangan MPP UiTM Se-Malaysia yang dilaksanakan mengikut jabatan antaranya Jabatan Pembangunan Mahasiswa, Jabatan Kebajikan Mahasiswa, Jabatan Pengurusan Sumber dan Informasi, Jabatan Perhubungan dan Antarabangsa serta berakhir dengan Persidangan Agung MPP UiTM Se-Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!