Hindari rasis dalam keluarga besar Malaysia
KUALA TERENGGANU - Penyatuan dalam keluarga besar di Malaysia memerlukan sokongan antara satu sama lain bagi mengelak sebarang perlakuan rasis atau kritikan berbaur perkauman.
Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ia perlu dipraktikkan memandangkan masyarakat negara ini terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan agama.
"Macam dalam keluarga kita sendiri ada anak anak, abang, kakak. Kalau gagal setelah berusaha sebaik mungkin, tidakkah kita peluk, tenangkan dan berikan kata kata semangat, bukan patahkan hati anggota keluarga kita dengan marah, kecam atau makian.
"Saya kecewa dengan kecaman melampau dan rasis segelintir rakyat Malaysia terhadap seorang pemain badminton negara seolah olah lupa beliau telah berjaya mendaki kejayaan sehingga peringkat separuh akhir mengatasi banyak negara," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Amzad berkata demikian bagi mengulas hantaran yang didakwa berbaur perkauman ditulis pemilik akaun Facebook, Borhan Che Rahim terhadap pemain badminton perseorangan negara S Kisona selepas pemain itu tewas di tangan pemain Jepun pada aksi separuh akhir saingan Piala Sudirman di Finland.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan tidak wajar menjadi ikutan.
"Mereka masing-masing menyumbang bakti kepada negara, mengharumkan nama negara. Sepatutnya kita beri sokongan, dorongan dan berterima kasih.
"Tidak selalu kita akan berjaya. Ada masa kita menang, ada masa kita kalah. Kita seharusnya hadapinya sebagai satu keluarga yang bersatu padu. Semoga ia tidak lagi berulang," katanya.
Isnin lalu, polis dilaporkan telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap seorang ahli politik yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap seorang atlet badminton negara.
Sebelum ini, individu terbabit dipercayai memberikan kritikan keras mengaitkan bangsa atlet terbabit menerusi paparan laman sosial, Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim
Bagaimanapun, beliau tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya kaum India.
Menurutnya, permohonan maaf berkenaan dibuat agar dapat menjernihkan kembali keadaan selepas beliau didakwa memberi komen melibatkan prestasi pemain badminton wanita negara, S Kisona.
Katanya, beliau juga bersedia melepaskan jawatan sebagai Naib Ketua Bersatu yang digalas ketika ini bagi menjaga nama baik parti itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!