Bajet 2022: Industri getah berharap kepada elaun pelaburan

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

PERSATUAN Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berharap kerajaan akan mengumumkan elaun pelaburan semula untuk industri getah dalam bajet akan datang bagi menyokong pemulihan ekonomi.

Presidennya, Dr Supramaniam Shanmugam berkata, elaun tersebut akan menggalakkan penggiat industri untuk melabur dan melabur semula dalam asasnya di Malaysia dari segi inovasi baharu, automasi, membina kapasiti serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), sekali gus membuka laluan ke hadapan untuk Malaysia sebagai pusat inovasi sarung tangan getah global.

Beliau berkata, usaha juga sedang dilakukan untuk menubuhkan Sekretariat Tetap Pengeluar Sarung Tangan Dunia di Kuala Lumpur.

“Kesan pengganda daripada pelaburan ini dalam rantaian bekalan akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia, membawa masuk pendapatan eksport tambahan untuk negara bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

“Pengeluar global terkemuka di Malaysia banyak melakukan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk inovasi produk terkini serta kemajuan teknologi maju dalam pengeluaran dengan penggunaan kecerdasan buatan, data raya dan teknologi lain untuk meningkatkan automasi dan mengurangkan jam dan tenaga kerja yang digunakan untuk menghasilkan sarung tangan,” katanya kepada Bernama.

Supramaniam berkata, industri telah melaksanakan automasi sejak 15 tahun lepas dan ini dapat dilihat daripada pengeluaran sarung tangan, yang telah meningkat daripada serendah 3,000 unit sejam kepada pengeluaran semasa sebanyak 42,000 unit sejam.

Begitu juga, kecekapan pengeluaran telah meningkat, sekali gus mengurangkan jumlah pekerja. Daripada memerlukan 10 pekerja untuk menghasilkan sejuta sarung tangan, industri kini hanya memerlukan 1.7 pekerja untuk mengeluarkan jumlah yang sama.

Pada masa ini, automasi berada pada tahap 85 peratus manakala kemungkinan yang terakhir 15 peratus adalah yang paling mencabar.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, itu memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun lagi, dan pada masa itu industri akan melaksanakan automasi pada tahap optimum.

Automasi peringkat akhir ini akan mengurangkan jumlah pekerja berikutan ia melibatkan antaranya menyusun, memasukkan ke dalam kotak dan membungkus sarung tangan dalam karton, katanya.

“Industri juga sedang menuju ke arah kemampanan untuk memenuhi standard global ESG untuk meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat global.

“Penggiat industri sedang meningkatkan usaha ESG mereka untuk melaksanakan R&D dalam bidang pemuliharaan air, sumber tenaga alternatif, kemampanan dan pelabelan hijau sarung tangan getah buatan Malaysia,” katanya, sambil menambah pelaburan dalam inovasi dan penggunaan teknologi maju amat penting bagi Malaysia untuk mengekalkan kedudukan utamanya.

Bagi menyokong langkah tersebut, katanya, MARGMA akan mewujudkan pangkalan data R&D berpusat untuk bekerjasama dengan pelbagai entiti kerajaan yang berkaitan.

Dalam meningkatkan tahap pematuhan sosial, pengeluar Malaysia memperuntukkan pelaburan modal yang besar untuk menambah baik asrama sedia ada atau membina asrama baharu untuk penempatan pekerja di bawah Akta 446 yang memerlukan standard minimum penempatan untuk mereka.

MARGMA juga akan melaksanakan usaha bersama dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Lembaga Getah Malaysia dan Majlis Getah Malaysia untuk memulakan program latihan sarung tangan getah untuk penduduk tempatan pada 2022.

Program latihan ini, yang dirangka oleh MARGMA, diadakan khusus untuk industri sarung tangan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!