Warga asing lengkap vaksin boleh solat di masjid, surau Pulau Pinang
GEORGETOWN - Warga asing yang telah lengkap menerima vaksin Covid-19 kini dibenarkan untuk menunaikan solat fardu serta solat Jumaat di masjid dan surau di seluruh Pulau Pinang bermula Rabu ini.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Mohd Zakuan Zakaria berkata, ketetapan baharu itu dibuat selepas pihaknya membuat pindaan terhadap tatacara aktiviti keagamaan masjid dan surau seluruh Pulau Pinang berikutan kelonggaran yang diberikan kerajaan untuk menambah bilangan jemaah.
Menurutnya, warganegara Malaysia yang baru mendapat satu dos vaksin juga masih dibenarkan solat di masjid dan surau mengikut prosedur operasi standard (SOP) terdahulu.
"Turut tidak berubah ialah kadar bilangan jemaah yang masih kekal iaitu mengikut keluasan masjid dan surau di kawasan masing-masing.
"Had umur jemaah yang dibenarkan adalah antara 12 hingga 70 tahun namun bagi yang berusia 71 ke atas dan sihat, mereka tidak digalakkan hadir tetapi dibenarkan bersolat di masjid dan surau," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Mohd Zakuan berkata, kuliah Subuh dibenarkan setakat 45 minit selepas solat dengan kedudukan jemaah yang kekal di sejadah masing-masing.
Tambahnya, kuliah, kelas agama dan bacaan yasin juga dibenarkan diadakan setiap selepas solat Maghrib sehingga solat Isyak dengan terus berada di tempat masing-masing.
"Imam dan khatib jemputan juga masih tidak dibenarkan memimpin solat atau menyampaikan khutbah Jumaat.
"Pihak masjid dan surau disaran membentuk jawatankuasa pemantau bagi memastikan SOP ini dipatuhi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!