Nurhizam selesa sebagai Bebas, sedia jika PRN
MELAKA - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Nurhizam Hassan yang sebelum ini bergerak sebagai ADUN Bebas tidak berhasrat menyertai mana-mana parti dan lebih selesa sebagai Bebas.
Nurhizam juga bersedia jika diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada bila-bila masa sahaja.
“Saya bukan nak cakap besar. Jika pilihan raya akan diadakan esok pun saya sedia. Siapa tidak kenal Datuk Nurhizam?
“Siapa antara YB yang boleh naik roda tiga waktu hujan, bagi lampin pakai buang, kit makanan, pakai selipar RM2 berhujan dan basah kuyup. Siapa Exco yang boleh? Semuanya datang dengan kereta rasmi nak tunjukkan konon aku ini Exco,” katanya pada sidang akhbar di Bandar Hilir pada Selasa.
Ujarnya, sebagai wakil rakyat, beliau memilih untuk bersikap rendah diri dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
Selain itu katanya, jika dulu beliau menganggap diri sebagai barua, tetapi sekarang ini bermaruah.
“Dulu saya barua dan sekarang saya bermaruah. Kena faham yang kami berempat (ADUN yang umum hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Melaka) ini ‘fighter’.
“Kita membakar diri demi rakyat. Jawatan kita tiada pun tidak mengapa, yang penting kita berjuang untuk rakyat,” katanya.
Dalam pada itu beliau menafikan dakwaan dirinya berjuang untuk diri sendiri sebaliknya beliau melakukan semata-mata untuk rakyat.
“Kami bukan berjuang untuk diri kami. Ada saya perjuangkan untuk diri saya sebagai Ketua Menteri? Tiada...tetap saya jadi Exco dan tak tahu jadi Exco atau tidak akan datang,” katanya.
Untuk rekod Nurhizam sebelum bergerak sebagai ADUN Bebas merupakan ADUN DAP.
Beliau bertindak keluar parti tahun lalu selepas menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!