Hantar rakaman dashcam 'rider' langgar peraturan kepada polis
PETALING JAYA - Pengguna jalan raya diminta untuk berkongsi rakaman video dashcam jika terlihat penunggang p-hailing yang melanggar undang-undang trafik atau menunggang secara berbahaya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shariat berkata, pihaknya menerima aduan daripada pelbagai pihak berkenaan tingkah laku penunggang p-hailing yang sering menunggang secara berbahaya.
"Saya menyeru kepada pengguna jalan raya jika kesan penunggang p-hailing yang melanggar peraturan supaya menghantar rakaman video dashcam menerusi Facebook JSPT Selangor dan kita akan ambil tindakan susulan.
"Kesalahan ketara yang boleh menyebabkan kemalangan adalah melanggar lampu isyarat merah, abai lalu lintas termasuk menunggang secara melawan arus dan kesalahan tertinggi adalah menunggang tanpa lesen," katanya kepada pemberita ditemui pada Selasa.
Azman berkata,operasi secara berterusan akan dijalankan di beberapa lokasi tumpuan yang dikesan kerap terjadi pelanggaran undang-undang membabitkan penunggang p-hailing.
"Saya menyeru kepada penunggang-penunggang p-hailing, dalam mengejar rezeki kita tidak boleh mengabaikan keselamatan diri kita dan pengguna jalan raya yang lain kerana keluarga kita menunggu di rumah.
"Operasi motosikal secara berkala dan berterusan akan dijalankan bukan hanya memberi tumpuan kepada penunggang p-hailing tetapi semua pengguna jalan raya secara keseluruhan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!