Tahap kesedaran masyarakat terhadap PWS masih rendah: APM
SEREMBAN - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan mempertingkatkan pembabitan orang awam dalam latihan Sistem Amaran Awam (PWS) bagi menghadapi bencana di negara ini, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Pesuruhjaya Pertahanan Awam (PA) Dr Norhafifi Ismail.
Beliau berkata, ia susulan tahap kesedaran orang awam berhubung bunyi siren amaran awal di negara ini masih rendah iaitu kira-kira 50 peratus, malah terdapat beberapa lokasi di negara ini masih belum dilengkapi PWS.
“Jika di negara yang sering dilanda bencana, hampir semua rakyatnya mengetahui mengenai amaran itu (PWS) dan mengambil tindakan yang perlu jika amaran dibunyikan.
“APM akan meningkatkan usaha bagi pembabitan orang awam dalam latihan PWS ini pada masa akan datang selepas pandemik Covid-19 reda," katanya kepada pemberita pada program Latihan Ujian Siren Sistem Amaran Awam di Ibu Pejabat APM Negeri Sembilan, di sini pada Selasa.
Norhafifi berkata, PWS berfungsi memberi amaran awam mengenai ancaman serangan udara oleh musuh dan peperangan, selain sebagai amaran ancaman bencana serta kecemasan dan ketenteraman awam.
Katanya, ujian tersebut adalah sebahagian misi menyelenggara dan mengaktifkan siren-siren amaran awam di kawasan Zon Selatan, selain mengukur sejauh mana bunyi didengari dengan jarak maksimum dalam radius lima kilometer.
Jelasnya, APM juga sedang berusaha memasang PWS di seluruh negara dengan peruntukan RM540 juta dalam tempoh tiga tahun bagi meningkatkan kesedaran awam dan sebagai amaran awal bencana. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!