Johor rangka program bantu anak-anak yatim akibat Covid-19

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad melihat Humairah Dayana Nakhaie,2, dan Norhanan Naura Muhammad Huri, 3, (kanan) melukis pada Perasmian Jauhar Childcare Centre (JCC) di Kota Iskandar hari ini.- Foto Bernama
Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad melihat Humairah Dayana Nakhaie,2, dan Norhanan Naura Muhammad Huri, 3, (kanan) melukis pada Perasmian Jauhar Childcare Centre (JCC) di Kota Iskandar hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor sedang merangka program khas untuk anak-anak yatim atau yatim piatu di negeri ini yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 bagi membantu menjaga kebajikan mereka pada masa depan.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata perkara berkenaan antara yang diberi tumpuan dalam perbincangan Retreat Belanjawan Johor 2022 bersama barisan Exco kerajaan negeri pada 29 September lepas.

“Kita ada program untuk mereka, cuma kini dalam peringkat memperhalusi beberapa pilihan yang ada dan saya yakin ia bertujuan menjaga kebajikan anak-anak tersebut serta meringankan beban keluarga yang dipertanggungjawabkan.

“Anak-anak yatim atau yatim piatu ini perlu disantuni kerana keadaan kehilangan ibu bapa mereka berbeza dengan biasa. Oleh kerana luar biasa musibah yang menimpa, kerajaan negeri akan memikirkan satu program khusus untuk mereka,” katanya selepas Majlis Pelancaran Modul Jauhar dan Perasmian Jauhar Child Care (JCC), di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan program khas untuk anak-anak yatim atau yatim piatu tersebut sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan pada 10 Oktober ini.

Mengenai JCC, Hasni berkata, pusat jagaan kanak-kanak yang dibina dengan kos RM900,000 itu, mampu menerima 50 kanak-kanak berusia daripada 12 bulan sehingga empat tahun.

Katanya, JCC merupakan program di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT), bertujuan menempatkan anak-anak yang ibu bapa mereka bekerja di sekitar kawasan Kota Iskandar.

“Pelatih di JCC ini akan menggunakan modul disediakan YPKDT. Pusat jagaan kanak-kanak ini akan menjadi tanda aras kepada kerajaan negeri sebelum dibangunkan di daerah lain,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!