Bajet 2022: Perlu tumpu kelangsungan hidup PKS

Foto fail Sinar Harian
Foto fail Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bajet 2022 perlu menumpukan kepada isu-isu perjuangan hidup perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menurut Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).

Menjelang Bajet 2022 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober, Pengerusi Samenta, Datuk William Ng berkata, persatuan itu mencadangkan agar cukai pendapatan peribadi untuk 2021 dikecualikan kepada mereka yang berpendapatan kasar di bawah RM80,000.

“Ini akan merangsang perbelanjaan dalam kalangan M40 untuk menjana kembali permintaan pasaran,” katanya dalam kenyataan pada Selasa mengenai cadangan persatuan itu bagi Bajet 2022.

Menurutnya, persatuan berkenaan turut menyarankan kerajaan untuk menurunkan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada empat peratus secara rata untuk merangsang permintaan pengguna dan mengurangkan kerja pentadbiran kepada peniaga dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Kami juga mencadangkan supaya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula pada kadar empat peratus mulai 2023,” katanya.

William turut menggesa kerajaan untuk mengurangkan kadar cukai korporat sebanyak 15 peratus kepada PKS bagi pendapatan boleh cukai RM500,000 pertama untuk 2021 dan 2022 berikutan ia akan mendorong pelaburan semula dan menggalakkan keusahawanan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan PKS yang telah gulung tikar.

“Laksanakan pengecualian levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) sehingga Jun 2022 dan kurangkan kadar kutipan itu kepada 0.5 peratus sehingga Jun 2023 kerana pada akhir 2019, HRDF mempunyai RM1.35 bilion dalam levi yang dikekalkan.

Katanya, HRDF mampu mengecualikan PKS daripada membayar levi sehingga Jun 2022 tanpa menjejaskan mandat untuk meningkatkan kemahiran pekerja.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, William berkata, kerajaan diminta untuk tidak membezakan antara perniagaan perlu dan bukan perlu berikutan semua perniagaan adalah saling berkaitan.

Sehubungan itu, katanya, Samenta berharap semua sektor ekonomi dapat dibuka semula secepat mungkin.

Ia turut menyarankan kerajaan untuk menghentikan semua operasi audit cukai besar-besaran untuk kes-kes yang disyaki sebelum 2019 hingga 2023 untuk membenarkan PKS menjana kembali aliran tunai mereka pada 2022 dan 2023.

Bagaimanapun katanya, operasi audit dan siasatan boleh disambung apabila ekonomi kembali pulih.

Turut dicadangkan Samenta adalah pelanjutan subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja sehingga Jun 2022 kepada semua sektor yang dianggap bukan perlu (seperti sektor tidak dibenarkan beroperasi sehingga Fasa 3 dan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara).

Selain itu, mereka turut menyarankan insentif pengambilan pekerja baharu diteruskan dengan subsidi upah sebanyak 50 peratus selama enam bulan sehingga Jun 2022 untuk PKS yang mempunyai kurang daripada 100 pekerja.

William berkata, kerajaan turut dicadang memperuntukkan 30 peratus kuota perolehan kerajaan kepada PKS untuk bersaing dalam kalangan mereka secara terbuka dan telus. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!