Mimpi yang belum berakhir...
NOMBOR 86.8, 87.2, 87.6 kini boleh dikatakan setiap hari kerap mengganggu mimpi penulis pada waktu malam. Penulis rasa semua orang ‘teruja’ dengan nombor itu yang kini menjadi bualan orang ramai.
Manakan tidak, selepas hampir setahun, nombor itulah menjadi penentu kepada rakyat Malaysia sama ada dapat melepaskan rindu kepada keluarga atau terpaksa menanggung lagi ‘derita’ yang semakin berpanjangan.
Hari yang dibenarkan merentas negeri itu akan menjadi tarikh keramat kepada seluruh rakyat Malaysia di perantauan untuk pulang ke kampung selepas hampir setahun tidak dapat berbuat demikian, malah ada anak-anak yang sudah dua tahun tidak bertemu orang tua di kampung gara-gara Covid-19.
Namun, kepulangan yang dinantikan kali ini mungkin tidak lagi seperti dahulu dek kerana tempoh dua tahun yang mencabar ini. Banyak perkara berlaku tanpa dirancang.
Kepulangan ke kampung mungkin tidak lagi bersama suami, isteri atau anak-anak. Dek kerana Covid-19, ada keluarga kehilangan orang tersayang.
Menurut data di laman sesawang Covid Now, jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 26,759 setakat 4 Oktober lalu. Angka itu jelas menunjukkan ramai yang menjadi korban Covid-19.
Kisah sedih yang dikongsi seorang pengguna media sosial menggunakan nama Emie Alias pernah tular baru-baru ini. Ada bayi kehilangan ibu atau bapa akibat Covid-19 dan terpaksa tinggal di hospital kerana tiada siapa boleh menjaga mereka.
Kongsinya lagi, antara kisah menyayat hati melibatkan bayi berusia tujuh hari yang baru kematian bapa kerana dijangkiti Covid-19 tahap tiga, manakala ibunya di tahap lima masih diintubasi.
“Keputusan ujian calitan bayi sebanyak dua kali negatif. Bayi dalam keadaan baik. Anak-anak lain nenek yang jaga. Menurut pegawai perubatan, tidak pasti neneknya boleh menjaga bayi ini atau tidak,” tulisnya dalam hantaran yang dikongsi lebih 3,400 kali.
Kehilangan
Itu kisah kehilangan ahli keluarga yang meninggal dunia akibat Covid-19, namun tidak kurang juga perpecahan yang berlaku dalam keluarga sepanjang tempoh dua tahun ini menyebabkan nikmat pulang ke kampung kali ini mungkin berbeza.
Menurut rekod, sebanyak 66,440 kes cerai membabitkan pasangan beragama Islam didaftarkan sepanjang tempoh pandemik bermula Mac 2020 hingga Ogos lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 12,479 kes diikuti Johor (7,558), Kedah (5,985), Kelantan (5,982), Perak (5,921) dan 5,098 di Terengganu.
Pahang pula merekodkan 5,058 daftar cerai, Sabah (4,010), Pulau Pinang (2,978), Wilayah Persekutuan (3,854), Negeri Sembilan (3,473), Melaka (2,402), Perlis (1,081) dan 561 di Sarawak.
Namun dalam setiap kesedihan, pasti akan ada kisah gembira. Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, hasil Perangkaan Demografi bagi suku tahun kedua 2021 menunjukkan jumlah kelahiran hidup di Malaysia mencatatkan sebanyak 111,573 kelahiran dengan 55,881 kelahiran bayi perempuan, manakala 55,692 bayi lelaki.
“Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,389 kelahiran (18.3 peratus) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Labuan sebanyak 390 kelahiran (0.3 peratus),” kata beliau pada 10 Ogos lalu.
Walaupun jumlah kadar kelahiran di negara ini menunjukkan penurunan, namun dari sudut positif, masih ada nyawa yang mampu dilahirkan dengan selamat ketika menempuh era Covid-19.
Jika dahulu pulang berdua, mungkin kali ini pulang bertiga. Maka, akan bertambahlah keceriaan keluarga menyambut orang baharu.
Apa pun, penulis berharap mimpi ini akan menjadi mimpi yang indah dan bukanlah mimpi yang hanya sekadar mimpi. Cukuplah derita hampir setahun ‘terkurung’ di rumah sendiri.
Marilah berdoa agar segala urusan dipermudahkan dan diberikan kekuatan serta kesihatan yang baik untuk kita sama-sama melawan Covid-19. #BersamaPutuskanRantaianCovid-19
*Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!