'Cepat mengah, 20 peratus paru-paru rosak akibat Covid-19'

Mohd Izhar (dua dari kiri) menyampaikan bantuan Perkeso kepada Nor Fairus yang kematian suaminya akibat Covid-19 sambil diperhatikan Tong Sing Chuang (dua dari kanan) di Flat Serantau, Larkin, Johor Bahru.
Mohd Izhar (dua dari kiri) menyampaikan bantuan Perkeso kepada Nor Fairus yang kematian suaminya akibat Covid-19 sambil diperhatikan Tong Sing Chuang (dua dari kanan) di Flat Serantau, Larkin, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita bersyukur kerana dia dan lima anaknya yang sebelum ini positif Covid-19 kembali sihat walaupun kehilangan suaminya akibat jangkitan itu pada Ogos lalu.

Nor Fairus Johar, 41, berkata, dia kehilangan suami, Selamat Omar, selepas disahkan positif pada 3 Ogos lalu dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 7 Ogos.

Bagaimanapun, menurut wanita itu, suaminya meninggal dunia lima hari kemudian.

"Selepas arwah suami dimasukkan ke hospital, saya dan lima anak berusia tiga hingga 16 tahun melakukan ujian calitan dan disahkan positif Covid-19.

"Anak-anak saya positif Covid-19 tetapi pada tahap rendah manakala saya pula berada di tahap empat dan dirawat selama 20 hari di HSA di sini.

"Doktor memberitahu, 20 peratus paru-paru sudah rosak dan keadaan saya sudah tidak sama seperti dulu. Saya sukar berjalan dan cepat mengah jika banyak bercakap selain sesak nafas jika batuk," katanya ketika ditemui di Flat Serantau Baru di sini.

Dia sebelum itu menerima bayaran Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keilatan di bawah Faedah Penakat yang disampaikan Exco Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia Negeri Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad.

Nor Fairus juga memberitahu, dia tidak mampu meneruskan pekerjaan yang diusahakan suami iaitu sebagai pengusaha van sekolah.

Artikel Berkaitan:

Wanita itu juga sebelum ini tidak tahu dia layak menerima bantuan serta faedah Perkeso itu kerana suaminya tidak lagi membayar caruman selepas memandu van sekolah.

Jelasnya, kali terakhir suaminya membuat mencarum Perkeso pada 2015 ketika masih bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di daerah ini.

"Ketika pandemik Covid-19 melanda, pendapatan kami terjejas dan arwah suami mencari alternatif lain bagi menambah pendapatan seperti kerja membuat rumah, mengecat dan pelbagai kerja yang boleh menampung kehidupan mereka sekeluarga.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur menerima pencen Penakat ini. Saya sendiri tidak tahu layak menerima bantuan yang amat membantu kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang berkata, selain menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000, ibu tunggal itu juga sudah mula menerima Faedah Pencen Penakat bagi arwah dengan kadar pencen bulanan RM1,635.48.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!