Kesihatan mental tentera, pengusiran Rohingya fokus Dewan Rakyat hari ini

Isu berkaitan tindakan kerajaan dalam memastikan tahap kesihatan mental dalam kalangan anggota dan pegawai tentera dalam keadaan baik antara yang dijangka menarik perhatian pada persidangan Dewan Rakyat, pada Rabu.
Isu berkaitan tindakan kerajaan dalam memastikan tahap kesihatan mental dalam kalangan anggota dan pegawai tentera dalam keadaan baik antara yang dijangka menarik perhatian pada persidangan Dewan Rakyat, pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu berkaitan tindakan kerajaan dalam memastikan tahap kesihatan mental dalam kalangan anggota dan pegawai tentera dalam keadaan baik antara yang dijangka menarik perhatian pada persidangan Dewan Rakyat, pada Rabu.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu akan dikemukakan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Menteri Kanan Pertahanan, yang turut ingin tahu pampasan diberikan kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tembakan di Balai Pengawal Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kota Samarahan, Sarawak baru-baru ini.

Selain soalan-soalan berkaitan Covid-19 dan vaksin, sesi pertanyaan bagi jawab lisan juga dijangka turut menyentuh kedudukan kerajaan mengenai rancangan untuk menghentikan pengusiran pelarian Rohingya yang akan dikemukakan Wong Chen (PH-Subang).

Wong turut meminta Menteri Luar menyatakan tindakan politik dan kemanusiaan sehala yang kerajaan sedia ambil terhadap rampasan kuasa di Myanmar, di luar daripada payung ASEAN.

Persidangan Dewan Rakyat juga akan menyambung sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) hari ini melibatkan 12 lagi kementerian, antaranya Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Kementerian Kesihatan.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!