'UMNO tidak rigid, masih ada ruang pertahankan MN'
SHAH ALAM - "UMNO tidaklah rigid. Masih ada ruang untuk mempertahankan ‘The Real Muafakat Nasional’ jika Pas bersedia," kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, 'The Real Muafakat Nasional' merupakan suatu kerjasama yang wajib bersandarkan kepada penyatuan ummah yang jujur lagi ikhlas.
“UMNO sentiasa berusaha, namun tiada berguna jika bertepuk sebelah tangan. Justeru biarlah demokrasi yang menentukan sehingga tiba Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Ini bukan manifestasi ketamakan sebaliknya biarlah ia ‘free for all’,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Selasa.
Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan bagi menjawab persoalan mengenai sama ada Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai UMNO dan Pas di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 September 2019 masih wujud atau sebaliknya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, UMNO tidak lagi boleh berdepan dengan ketidaktentuan berhubung MN dalam persiapan dan persediaannya menghadapi PRU15.
“Ketidaktentuan boleh mengganggu dan menyekat kelancaran strategi serta gerak kerja UMNO untuk PRU15.
“UMNO perlu segera berdepan dengan hakikat seperti yang rakyat kebanyakan juga dapat melihat hakikat sebenar tentang MN ketika ini,” ujar beliau.
Jelas Zahid, UMNO kekal bertanding di bawah panji Barisan Nasional (BN) bersama parti komponen dan rakan yang masih setia kepada perjuangan gabungan tersebut.
“Dengan semangat berpuluh tahun BN kita gemilangkan, kembali semangat itu sebagai wadah perjuangan paling bererti untuk rakyat dan negara menjelang PRU15.
“Saya yakin BN akan meraih sokongan deras rakyat selepas apa yang rakyat alami, rasai dan saksikan selepas PRU14 berakhir pada 9 Mei 2018,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!