Tiada lesen memandu, polis kesan 'rider' p-hailing kongsi ID
PETALING JAYA - Sebilangan penunggang p-hailing dikesan tidak mempunyai lesen memandu dan bekerja menggunakan pengenalan diri (ID) atau akaun yang dikongsi dengan penghantar makanan berdaftar lain.
Perbuatan itu dikesan polis dalam operasi motosikal dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) selama lima hari bermula Jumaat di beberapa lokasi tumpuan di Selangor.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, operasi tersebut memberikan penekanan terhadap penunggang p-hailing.
"Sebanyak 1,813 saman telah dikeluarkan dalam operasi selama lima hari ini di mana 534 atau 29 peratus daripadanya dikeluarkan terhadap penunggang p-hailing.
"Kita turut mengesan ada segelintir pengguna berdaftar p-hailing yang memberikan ID mereka kepada orang lain yang tiada lesen memandu," katanya ketika ditemui di lokasi operasi berhampiran Paradigm Mall di sini pada Selasa.
Azman berkata, antara kesalahan yang sering dilakukan golongan tersebut adalah melanggar lampu isyarat merah, menunggang secara melawan arus dan tiada lesen memandu yang sah.
"Operasi motosikal secara berkala dan berterusan akan dijalankan bukan hanya memberi tumpuan kepada penunggang p-hailing tetapi semua pengguna jalan raya secara keseluruhan," katanya.
Beliau turut menasihatkan penunggang p-hailing supaya mengutamakan keselamatan diri dan tidak menunggang secara berbahaya.
"Saya menyeru kepada penunggang p-hailing, dalam mengejar rezeki kita tidak boleh mengabaikan keselamatan diri kita dan pengguna jalan raya lain kerana keluarga kita menunggu di rumah.
"Mereka sering mengambil laluan mudah untuk memintas jalan yang panjang dengan cara melawan arus," jelasnya.
Pada masa sama, Azman turut menggesa semua syarikat penyedia platform p-hailing untuk memastikan setiap penunggang yang bekerja di bawah mereka mempunyai lesen memandu yang sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!