Polis berjaya berkas ah long
KEPALA BATAS - Seorang lelaki yang dipercayai peminjam wang tidak berlesen atau ah long ditahan polis dalam satu serbuan yang dilakukan di Jalan Pongsu Seribu di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dilakukan hasil siasatan dan risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil mengenai aktiviti lelaki berkenaan yang aktif memberikan pinjaman secara haram kepada orang ramai terutamanya golongan peniaga di sekitar daerah ini.
Menurutnya, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan ketika sedang berurusan dengan seorang peniaga.
"Polis telah merampas senarai peminjam, buku catatan peminjam, beberapa buah telefon bimbit, beberapa cek bank, penyata akaun bank peminjam dan banting yang ditemui di dalam kereta milik suspek.
"Suspek kini direman tiga hari untuk siasatan sebelum kes dirujuk kepada pendakwaraya," katanya ketika dihubungi di sini.
Noorzainy berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda yang tidak kurang dari RM250,000 dan tidak melebihi RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi selama tempoh 5 tahun.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan promosi yang diberikan oleh ah long kononnya menawarkan pinjaman lulus segera dan kadar faedah yang rendah.
Katanya tawaran itu hanya sekadar mahu menarik minat peminjam sebaliknya mereka akan dikenakan pelbagai syarat yang mungkin boleh menjerat diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!