Tiga stesen MRT laluan Kajang ditutup sementara
SUNGAI BULOH - Tiga Stesen Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang akan ditutup sementara mulai Sabtu ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja migrasi akhir pembinaan MRT laluan Putrajaya.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana Malaysia Bhd, Datin Norlia Noah berkata, stesen itu melibatkan Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh yang akan ditutup sehingga Fasa Satu MRT laluan Putrajaya dilancarkan November ini.
Menurutnya, semua tren MRT dari Kajang akan berhenti di Kwasa Sentral dan pengguna akan meneruskan perjalanan dengan menaiki bas perantara yang disediakan secara percuma.
"Bas perantara ini disediakan di antara Stesen MRT Kwasa Sentral dan Stesen MRT Sungai Buloh serta akan berhenti di Stesen MRT Kampung Selamat.
"Waktu perkhidmatan bas perantara sama dengan masa operasi MRT mengikut kekerapan 10 minit antara jam 6 pagi hingga 8 malam serta 15 minit pada jam 8 malam hingga 12 malam," katanya pada sesi taklimat berhubung penutupan stesen itu pada Rabu.
Turut hadir, Pengarah Projek Laluan Putrajaya MRT Corp, Datuk Amiruddin Ma'aris.
Norlia berkata, Rapid Rail Sdn Bhd sebagai pengendali MRT laluan Kajang telah mengambil langkah perlu untuk melancarkan pergerakan penumpang.
"Kami akan memastikan perkhidmatan bas perantara mencukupi akan menambah bilangan bas mengikut keperluan jika berlaku kesesakan pengguna pada satu-satu masa," katanya.
Sementara itu, Amiruddin berkata, penutupan sementara itu perlu dilakukan bagi membolehkan sistem operasi penting seperti komunikasi, semboyan dan berkaitan dilakukan sebelum MRT laluan Kajang ke laluan Putrajaya beroperasi.
"Setelah kerja-kerja migrasi selesai, demonstrasi prestasi akan dilakukan bagi memastikan sistem berfungsi seperti dikehendaki.
"Tempoh ini juga akan digunakan oleh Rapid Rail sebagai pengendali MRT laluan Putrajaya untuk membiasakan diri dengan laluan yang dimigrasi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!