Scolani masih berahsia kesebelasan Argentina
PENGENDALI Argentina, Lionel Scaloni masih berahsia mengenai kesebelasan pemain yang bakal diturunkan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 CONMEBOL, pada Jumaat.
Menurutnya, biarpun kesemua pemain tonggak skuad Albiceleste itu sudah mula menjalani latihan di bawah kendaliannya sejak beberapa minggu lalu, namun dia masih belum dapat menentukan kesebelasan pemain yang bakal beraksi kelak.
“Semua pemain tonggak, sudah mula menjalani latihan bersama saya sejak minggu lalu kecuali tiga pemain Paris Saint-Germain (PSG), Angel Di Maria, Lionel Messi and Leandro Paredes.
“Bagaimanapun, saya gembira kerana kesemua mereka sudah berada bersama saya dan gigih menjalani latihan bersama.
“Mereka juga kelihatan bersemangat dan ini memberikan petanda yang cukup positif menjelang pertemuan dengan Paraguay ini,” katanya.
Untuk rekod, pemain-pemain tonggak Argentina seperti Emiliano Martinez, Gonzalo Montiel, Sergio Romero, Nicolas Otamendi, Marcos Acuna, Rodrigo De Paul, Leandro Paredes, Giovani Lo Celso, Angel Di Maria, Lautaro Martinez dan Lionel Messi sudah menjalani latihan sejak latihan di bawah kendalian Scolani.
Difahamkan, pada sesi latihan Selasa lalu, kesemua pemain berkenaan dilihat cukup bersemangat dan bersedia untuk mengharungi aksi kelayakan berkenaan.
Sementara itu Scolani berkata, dia tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan kesebelasan sama ketika skuad Albiceleste itu muncul juara Copa America 2020, Julai lalu.
Bagaimanapun menurutnya, apa yang pasti sudah pasti dia akan menurunkan kesebelasan terbaik dalam usaha memastikan kemenangan pada aksi kelayakan berkenaan.
“Sebenarnya saya lega ramai pemain tonggak sudah pun menjalani latihan dan bersedia untuk diturunkan pada perlawanan berdepan Paraguay nanti.
“Apa yang boleh saya katakan ketika ini adalah, berdasarkan semangat yang ditunjukkan, saya yakin mereka dapat memberikan aksi terbaik dan memastikan kemenangan buat skuad Albicaleste nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!