Pemain bola sepak akan dituduh cubaan bunuh pengadil

William Ribeiro ditangkap selepas dia 'membelasah' seorang pengadil di sebuah stadium di Rio Grande do Sul, Brazil pada malam Isnin lalu. - Foto Twitter
William Ribeiro ditangkap selepas dia 'membelasah' seorang pengadil di sebuah stadium di Rio Grande do Sul, Brazil pada malam Isnin lalu. - Foto Twitter
A
A
A

SAO PAULO - Seorang pemain bola sepak Brazil ditangkap dan dijangka dituduh melakukan percubaan membunuh selepas dia 'membelasah' pengadil sehingga tidak sedarkan diri di sebuah stadium di Rio Grande do Sul, kata sumber-sumber pada Selasa.

Pemain itu, William Ribeiro dilaporkan menumbuk dan menendang di belakang leher pengadil Rodrigo Crivellaro sehingga menyebabkannya jatuh dan tidak sedarkan diri dalam perlawanan yang diadakan pada malam Isnin lalu.

Serangan itu berlaku semasa perlawanan antara kelab Sao Paulo-RS dan Guarani yang menjadi tuan rumah dan kejadian itu turut dirakamkan menerusi kamera televisyen.

Ribeiro dilaporkan bertindak sedemikian selepas pengadil tersebut tidak memberikan kelab Sao Paulo sepakan percuma.

Ekoran tidak sedarkan diri, pengadil itu diberikan bantuan perubatan di atas padang dan dihantar ke sebuah hospital.

Bagaimanapun, dia dibenarkan keluar dari hospital pada pagi Selasa dalam keadaan kesihatannya yang baik, kata satu sumber di Hospital Sao Sebastiao Martir, Venancio Aires kepada AFP.

Seorang pegawai polis, Vinicius Assuncao dipetik sebagai berkata, Crivellaro mungkin didakwa dengan cubaan membunuh.

Ini adalah kerana pengadil tersebut dipukul dan ditendang tanpa sempat dia mempertahankan dirinya, kata Assuncao.

Artikel Berkaitan:

Kelab Sao Paulo berkata, ia telah memecat Ribeiro dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

Pihak persekutuan bola sepak tempatan menyatakan ia akan menghukum pemain itu, manakala kesatuan pengadil tempatan meminta Ribeiro diharamkan daripada bermain bola sepak. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!