Covid-19: MMA gesa penjawat awam ambil vaksin segera
SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa semua penjawat awam yang masih belum menerima vaksin Covid-19 supaya mendapatkan vaksin secepat mungkin.
Presidennya, Dr Koh Kar Chai berkata, manfaat mendapatkan vaksin dapat dilihat dengan jelas kerana kes Covid-19 menunjukkan penurunan dan lebih banyak sektor dibuka secara beransur-ansur.
“Jabatan Perkhidmatan Awam kerajaan (JPA) mewajibkan vaksinasi bagi semua penjawat awam.
Walaupun demikian difahami jumlah penjawat awam tidak divaksin sangat tinggi.
“Ramai ibu bapa juga menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan anak mereka ketika sekolah dibuka semula.
Oleh itu, guru yang belum menerima vaksin tetapi layak mendapat vaksin harus mengambil langkah bertanggungjawab memastikan mereka menerima vaksin lengkap,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Kar Chai, terdapat bukti mencukupi bahawa vaksin Covid-19 berfungsi dengan baik, selamat dan mempunyai kesan sampingan yang ringan.
Menurutnya, kajian vaksin Covid-19 telah dilakukan secara menyeluruh dan keberkesanannya bukan hanya diuji oleh organisasi kesihatan terkemuka tetapi juga badan pengawasan setiap negara sebelum lulus untuk digunakan.
“Walaupun individu yang divaksinasi sepenuhnya masih boleh dijangkiti, simptomnya ringan dan kebanyakan kes tidak memerlukan kemasukan ke hospital.
“Tidak dinafikan virus akan bermutasi dan kita mungkin lihat varian baru di masa hadapan tetapi buat masa ini, penting untuk kita menggunakan semua alat yang ada bagi melindungi diri daripada Covid-19,” katanya dalam kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!