UMNO kena lihat dalam konteks lebih besar: Mohd Amar
KOTA BHARU - Pas mahu UMNO melihat hubungan tiga parti dalam Pakatan Nasional (PN) dalam konteks yang lebih besar untuk masa depan rakyat Malaysia selepas ini.
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Pas masih mengulangi pendirian yang sama untuk meneruskan hubungan dengan Bersatu dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) dan PN.
“Pendirian kita sejak dulu pun kita mahu dua-dua ini bergerak sekali dan hubungan kita dalam MN dan PN dikekalkan. Dalam teori politik kita, ketiga-tiga parti utama ini kena bersama dan bekerjasama dalam pilihan raya untuk memastikan kemenangan yang mantap.
“Kalau masing-masing bawa diri maka kita tidak akan berjaya. Kita percaya daripada kajian yang kita buat, kita boleh wujudkan kerajaan yang gagah dengan majoriti yang besar.
“Kita harap UMNO boleh lihat senario ini dengan lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini pada Rabu.
Mohd Amar sebelum itu diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menyifatkan masih ada ruang untuk mempertahankan MN jika Pas bersedia.
Namun katanya, ketika ini, UMNO perlu berdepan dengan realiti semasa walaupun ramai mengharapkan kerjasama itu terus dipertahankan.
Kenyataan Ahmad Zahid itu didakwa sebagai menjawab pelbagai persoalan yang timbul melibatkan hubungan antara UMNO dan Pas sejak MN dimeterai sebelum ini.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, Pas juga sering tertanya adakah kenyataan yang dikeluarkan Presiden UMNO itu datangnya daripada parti itu sendiri, ataupun ia sekadar pandangan peribadi pemimpin itu.
“Kadang-kadang kita tertanya-tanya juga, adakah kenyataan presiden ini mewakili pandangan parti yang sebenar. Adakah beliau sudah bincang dengan teliti dalam Majlis Tertinggi atau hanya pandangan peribadi?
“Ini adalah kerana apa yang kita dengar dari luar berbeza daripada apa yang disebut presiden. Mereka mahu kekalkan kerjasama antara tiga parti ini. Cuma apa yang kita boleh bincang ialah bentuk kerjasama tersebut.
“Kita tahu UMNO ada masalah dengan Bersatu dan kita bukan mahu paksa UMNO. Mungkin kita boleh cari satu kaedah persefahaman dan kerjasama yang memastikan kita tidak bertembung pada pilihan raya. Kaedah itu yang kita kena cari. Itu harapan Pas,” luahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!