Tujuh individu sindiket 'love scam' diberkas

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai tujuh individu termasuk dua wanita warga asing yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan 'love scam' ditahan secara berasingan di tiga premis di Puchong pada Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun itu menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat Malaysia dan Hong Kong.

"Kita merampas beberapa buah komputer riba, telefon bimbit, 'router', pasport dan sejumlah kad pengeluaran tunai daripada pelbagai bank," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Kamarudin berkata, siasatan mendapati ahli sindiket itu memasuki Malaysia sekitar tiga tahun lalu dengan menggunakan pas pelajar.

"Sindiket ini menggunakan pelbagai nama samaran dan akaun palsu di platform Facebook dan Instagram, mereka akan menghantar permohonan untuk menjadi rakan kepada pengguna media sosial.

"Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata manis dan janji palsu kemudiannya akan diminta untuk memindahkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan," katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan direman sehingga Sabtu bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

"Kita memintau orang ramai agar aspek pencegahan jenayah yang merangkumi ilmu pengetahuan, kewaspadaan dan sebagainya sentiasa dititikberatkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Kamarudin berkata, beberapa tips boleh dipraktikkan antaranya jangan mudah terpesona dengan gambar-gambar profil yang cantik/tampan yang digunakan di media sosial.

"Jangan cepat terpedaya dengan kata-kata manis atau janji mereka. Berhati-hati dalam memilih rakan melalui laman sosial atau alam maya terutamanya kenalan yang dikatakan daripada luar negara," katanya.

Menurutnya, jangan mendedahkan nombor akaun bank atau identiti diri dan keluarga kepada mana-mana individu yang tidak kenali atau baharu kenali menerusi internet.

"Jangan memberi pinjaman atau memasukkan wang ke dalam akaun individu yang tidak dikenali sekiranya diminta atau arahan tersebut daripada kenalan laman sosial melalui telefon, sistem pesanan ringkas dan e-mail," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, orang ramai perlu membuat semakan terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau memuat turun aplikasi “semak mule ccid” sebelum membuat sebarang transaksi.

"Hubungi CCID Scam Response Centre menerusi talian 03-2610 1559 / 03-2610 1599 jika mempunyai sebarang maklumat atau keraguan berkaitan jenayah komersil," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!