Mohon rakyat Singapura bersuara isu air
JOHOR BAHRU - Bersatu Johor memohon rakyat Singapura menggesa kerajaan mereka untuk mempertimbangkan dan menilai semula perjanjian jual beli bekalan air yang sudah dimeterai sejak sekian lama oleh kedua-dua pihak.
Pengarah Media Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri berkata, berdasarkan perkembangan ekonomi terkini, perjanjian tersebut harus dinilai semula agar manfaat yang diterima setara antara kedua-dua pihak.
"Menyahut semangat muhibah, saya merayu kepada rakyat Singapura untuk mendesak kerajaan mereka mengkaji semula syarat Perjanjian Air 1962 untuk membuat perjanjian yang lebih adil.
"Rakyat Singapura tahu, air telah menjadi komoditi berharga terutama dengan kesan perubahan iklim yang berlaku di sini. Hasilnya kita rakyat Johor sendiri terpaksa menghadapi kekurangan bekalan air," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mohd Solihan berkata, selepas 57 tahun adalah tidak adil penjualan air ke Singapura dibuat dengan harga yang sama iaitu 3 sen Malaysia yang bersamaan 1 sen Singapura untuk setiap 1,000 gelen air mentah.
"Lebih menyukarkan, kita terpaksa membeli balik bekalan air terawat dari Singapura dengan kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen. Semestinya anda (warga Singapura) tahu perjanjian air ini adalah untuk rakyat negara ini yang mana ada dalam kalangannya adalah keluarga kami sendiri.
"Jadi adakah kamu sanggup dan tidak kisah menikmati bekalan air yang murah daripada keluarga kami, tetapi di sini berlaku sebaliknya," katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga ADUN Tenang berkata, kesepakatan seperti itu tidak boleh menjamin hubungan yang baik tetapi seharusnya berlandaskan rasa hormat dan kepercayaan antara satu sama.
"Saya merayu kepada rakyat Singapura untuk mengambil tahu hakikat ini dan menyuarakan kepada kerajaan mereka betapa salahnya secara moral untuk mendapat faedah daripada muhibah kami melalui persetujuan yang berat sebelah itu.
"Mohon desak kerajaan anda untuk menimbang semula syarat-syarat dalam perjanjian ini agar ia memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!