Johor, Pahang beralih fasa PPN

Hishammuddin- Foto fail Bernama
Hishammuddin- Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Rabu membuat keputusan, Johor akan beralih kepada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Jumaat ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mulai tarikh sama juga Pahang akan beralih memasuki Fasa Empat PPN.

Menurutnya, peralihan fasa ini dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh PPN dan setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki fasa tiga dan empat adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan

dikemaskini oleh MKN di laman sesawang www.mkn.gov.my," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju untuk membenarkan beberapa lagi kelonggaran baharu berkuat kuasa pada 9 Oktober ini.

Menurutnya, antara kelonggaran yang diberikan ialah waktu beroperasi pasar borong di negeri fasa dua dan tiga dibenarkan mengikut syarat lesen dan permit pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan syarat pekerja divaksin lengkap dan mematuhi SOP sedia ada.

Selain itu katanya, sektor tembakau dan rantaiannya turut dibenarkan untuk beroperasi di Fasa Dua PPN dan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

"Pelaksanaan Upacara Mengikat Thaali di rumah ibadat kuil bagi agama Hindu dan Pernikahan Kudus (Holy Matrimony) bagi agama Kristian dibenarkan dalam tempoh PPN.

"Kementerian Perpaduan akan memaklumkan kepada Persatuan Agama Hindu dan Persatuan Agama Kristian berhubung SOP yang perlu dipatuhi," katanya.

Tambah beliau, mesyuarat turut bersetuju membenarkan pengoperasian aktiviti lelongan awam bagi barangan sandaran di bawah sektor pajak gadai yang berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dibenarkan dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Antara syaratnya ialah pekerja dan pembida telah lengkap vaksin dan hanya melibatkan 54 pelelong yang telah dikenalpasti di seluruh negara serta terhad kepada 30 minit bagi satu sesi pada satu dan tujuh hari bulan setiap bulan.

"Selain itu, kapasiti pekerja dan pembida mengikut fasa negeri di mana fasa dua 60 peratus pekerja dan 50 peratus pembida, manakala fasa tiga 80 peratus pekerja dan 80 peratus pembida.

"Bagi negeri fasa empat, kapasiti pekerja dan pembida adalah 100 peratus," katanya.

Sementara itu menurut Hishammuddin, dalam usaha negara #ReopeningSafely, adalah penting untuk rakyat tidak cepat berasa selesa dan bersikap sambil lewa dengan semua kelonggaran yang diumumkan.

Tegasnya, selain terus mengamalkan SOP yang ditetapkan, penting untuk masyarakat meningkatkan penilaian kendiri, bukan sahaja demi melindungi diri tetapi juga orang sekeliling daripada virus Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!