MDA rampas peranti perubatan, tidak berdaftar lebih RM1 juta

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas pelitup muka perubatan, oximeter dan kit ujian kendiri Covid-19 yang tidak berdaftar bernilai lebih RM1 juta dari sebuah syarikat di Bukit Rimau dekat sini pada Rabu.

Ketua Eksekutif MDA, Ahmad Shariff Hambali berkata, serbuan yang dilakukan pada jam 11 pagi tadi itu melibatkan seramai 18 pegawai penguat kuasa, susulan aduan orang awam dan hasil risikan pihaknya.

Menurutnya, ketika serbuan, dua suspek berumur 30-an yang merupakan pemilik premis turut berada di lokasi dan telah memberi kerjasama penuh serta diambil rakaman percakapan.

"Modus operandi mereka adalah menjual peranti-peranti tersebut melalui platform dalam talian atau e-dagang dan membekal peranti tersebut kepada syarikat-syarikat pengedar yang lain," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah MDA, Muhammad Farhan Ishak yang turut menyertai serbuan tersebut ketika ditemui Bernama berkata, dua stor di premis itu digunakan untuk menyimpan peralatan peranti perubatan tidak berdaftar tersebut.

Muhammad Farhan berkata, syarikat tersebut didapati melanggar Seksyen 5 (1), Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737), iaitu meletakkan peranti perubatan yang tidak berdaftar di bawah Akta 737 dalam pasaran yang boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 5 (2), Akta 737 iaitu denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

"Orang awam digalakkan untuk menyemak status pendaftaran sesuatu peranti melalui laman sesawang mdar.mda.gov.my.

"Sebarang aduan berkaitan produk tidak berdaftar boleh disalurkan kepada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, KKM melalui Sistem Pengurusan Maklumbalas MDA (MDAFEMES) di alamat femes.mda.gov.my agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan peranti perubatan yang tidak berdaftar di pasaran," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!